Kekeliruan kecil di dalam bilik darjah baru-baru ini telah mencetuskan tawa besar dalam kalangan pengguna media sosial apabila seorang pelajar mentafsirkan arahan guru secara literal dengan cara yang paling tidak dijangka.
Kisah bermula apabila guru meminta ‘kertas kajang’ untuk tugasan, namun pelajar berkenaan muncul di sekolah keesokan harinya dengan membawa ‘kertas mahjung’.
Salah faham yang comel ini bukan sahaja mencuit hati guru, malah telah tular dan mengundang ‘geli hati’ netizen yang terhibur melihat kenaifan pelajar tersebut.
Menerusi video yang dikongsikan oleh gurunya sendiri, pelajar terbabit telah menghantar tugasan dengan kertas mahjung terbabit yang bersaiz besar.
“Anak murid yang salah faham antara kertas kajang dengan kertas mahjung,” tulisnya di video.
Guru melihat kejadian itu sebagai sesuatu yang lucu dan akan menggunakan terma yang lebih sesuai dengan pelajar masa kini iaitu ‘testpad’.
Dalam pada itu, dia masih memuji akan kesungguhan pelajarnya yang memenuhi ruangan beberapa helai kertas mahjung dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan.
“Sebelum semua nitizen2 nak komen, disini saya nak jelaskan lebih terperinci. Saya minta anak2 murid saya buat nota sebab tak lama lagi dah nak exam akhir tahun, saya ajar cara nak buat nota guna kertas kajang, lipat dua so basically mudah mak study, tapi anak murid saya salah faham.
“Dia ingat kertas kajang tu kertas mahjung, dan saya dapat kesan ada lgi dua tiga orang murid saya tak kenal kertas kajang tu apa kawan2 dia datang ke depan sebab saya panggil untuk tengok hasil nota dia buat, sebagai panduan buat mereka juga. saya bangga dengan kerajinan dan ketekunan anak murid saya, semua doakan anak2 murid saya rajin dan beradab ye, terima kasih,” terangnya.
@nurnasyrahiwani sebab student ingat kertas mahjung tu kertas kajang 😭 tolong doakan semua student saya cemerlang dunia & akhirat ❤️ #fypシ゚ #fouryourpage
Video yang berjaya meraih hampir 1 juta jumlah tontonan di TikTok itu langsung meraih perhatian netizen. Walaupun ramai meluahkan rasa geli hati, mereka tetap percaya kesungguhan pelajar itu menyiapkan tugasan walaupun di atas kertas sebesar itu layak dipuji.
Malah, ramai kagum melihat tulisan pelajar tersebut tersangatlah kemas dan sedap mata yang melihatnya. Selain itu, netizen mendoakan agar pelajar yang sedia mendengar arahan guru itu meraih kejayaan yang diimpikan.