Teka-teki mengenai masa depan Mohamed Salah bersama Liverpool akhirnya terjawab apabila bintang The Reds itu telah menandatangani kontrak lanjutan.
Difahamkan peledak berbisa kelahiran Mesir itu memeterai perjanjian bersama Liverpool selama dua tahun untuk kekal hingga tahun 2027.
Baca Juga:
- Sam Allardyce Dedah Sebab Mohamed Salah Takkan Menang Ballon d’Or 2025
- Mohamed Salah Mahu Diingati Penyokong Liverpool
- 5 Rekod Mohamed Salah Yang Luar Biasa Musim Ini
Perkembangan terkini berita yang pastinya menggembirakan para penyokong Liverpool itu disahkan menerusi kenyataan di laman sesawang rasmi pasukan, sebentar tadi.

“Liverpool FC mengumumkan bahawa Mohamed Salah telah menandatangani kontrak baharu yang akan mengekalkannya bersama kelab melepasi musim 2024-25.”
“Penyerang itu, yang sedang menikmati satu lagi musim cemerlang bersama The Reds, telah mengikat masa depannya dengan menandatangani kontrak baharu tersebut.”
Dalam pada itu, Salah yang menjaringkan 32 gol dalam 45 penampilan di semua pertandingan musim ini turut meluahkan kegembiraannya dapat terus kekal bersama Liverpool.
Mohamed Salah Gembira Bersama Liverpool
“Sudah tentu saya sangat teruja. Kami sekarang mempunyai pasukan yang hebat. Sebelum ini juga, kami mempunyai pasukan yang hebat.”
“Tetapi saya menandatangani kontrak ini kerana saya rasa kami berpeluang untuk memenangi trofi lain dan menikmati bola sepak saya.”

“Ini sesuatu yang hebat, saya telah melalui tahun-tahun terbaik saya di sini. Saya bermain selama lapan tahun, semoga ia akan menjadi 10 tahun. Menikmati kehidupan saya di sini, menikmati bola sepak saya. Saya telah melalui tahun terbaik dalam kerjaya saya.
“Saya ingin mengucapkan kepada [peminat], saya sangat, sangat gembira berada di sini. Saya menandatangani kontrak di sini kerana saya percaya kita boleh memenangi banyak trofi besar bersama.”
“Teruskan sokongan kepada kami dan kami akan memberi yang terbaik, dan semoga di masa hadapan kita akan memenangi lebih banyak trofi,” tambah Mohamed Salah lagi.