Hajime Moriyasu menamatkan khidmat selama lapan tahun sebagai ketua jurulatih Jepun selepas pasukannya tewas kepada Paraguay 1-2 di Singapura.
Pengendali berusia 58 tahun itu mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya selepas mengemudi skuad kebangsaan dalam 113 perlawanan.
Menurut sumber laporan Goal, Moriyasu turut menyuarakan harapan agar Jepun terus membina kekuatan bagi merealisasikan impian menjuarai Piala Dunia pada masa hadapan.

Jodoh Moriyasu & Jepun Berakhir
Moriyasu sebelum ini menandatangani lanjutan kontrak yang sepatutnya berakhir selepas saingan Piala Asia pada Februari depan.
Bagaimanapun, kejohanan itu ditangguhkan tanpa diduga sehingga Disember 2027 sekali gus menyaksikan tempoh khidmatnya sebagai ketua jurulatih Jepun secara rasmi berakhir minggu ini.
Perpisahan itu menandakan berakhirnya satu era penting dalam sejarah bola sepak Jepun.
Meskipun meninggalkan pasukan secara mengejut, Moriyasu tetap optimis terhadap masa depan skuad kebangsaan Jepun.
Beliau berharap asas yang telah dibina sepanjang tempoh kendaliannya mampu membantu Jepun mencapai kejayaan tertinggi di pentas dunia pada masa hadapan.
“Saya percaya kuncinya adalah Jepun perlu terus membina kekuatan sedia ada bagi muncul sebagai pasukan terbaik di dunia,” kata Moriyasu.
“Saya berharap para pemain terus berkembang dan meningkatkan kemampuan masing-masing.”
“Sebagai penyokong, saya mahu terus menyaksikan dan memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan Jepun dalam usaha mereka mengorak langkah seterusnya untuk bergelar juara dunia.”
“Saya amat bertuah kerana berpeluang bekerja bersama pemain dan barisan kejurulatihan yang hebat. Saya juga menikmati tempoh yang sangat menggembirakan sepanjang bersama mereka.”
Sepanjang bersama skuad kebangsaan Jepun, Moriyasu berjaya membimbing pasukan itu mencatat beberapa kemenangan mengagumkan sepanjang tempoh panjang kendaliannya.
Pasukan itu mencipta kejutan apabila menewaskan Sepanyol dan Jerman pada peringkat kumpulan Piala Dunia 2022 sebelum tersingkir kepada Croatia menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan 16 terakhir.
Jepun turut mencatat kemenangan bersejarah ke atas England dan Brazil sebagai persiapan menjelang kejohanan 2026.
Bagaimanapun, skuad kendaliannya sering gagal melakar pencapaian baharu dalam kejohanan utama, termasuk tewas kepada Qatar pada final Piala Asia 2019.
Kempen terbaharu Jepun turut berakhir dengan kekecewaan buat skuad kebangsaan itu. Jepun tersingkir pada suku akhir Piala Asia 2023 sebelum tersingkir pada pusingan 32 Piala Dunia tahun ini selepas tewas kepada Brazil.

Keputusan itu menyaksikan Jepun masih belum pernah melepasi pusingan 16 terakhir dalam saingan Piala Dunia.
Selepas pemergian Moriyasu, ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun Jepun, Go Oiwa akan mengambil alih tugas membimbing skuad senior negara itu.
Oiwa bakal mewarisi pasukan yang bertekad untuk mencipta sejarah baharu dan akhirnya menempatkan Jepun dalam kelompok elit bola sepak antarabangsa.