Sudah beberapa negara di luar sana yang menyekat aplikasi TikTok kerana didakwa mempunyai aktiviti pengintipan untuk kerajaan China, jadi sudah pun mendengar ura-ura bahawa Malaysia juga akan mengikuti jejak langkah itu.

Terbaharu, Ahli Parlimen Segamat, R Guneswaran bercadang mengemukakan usul di Dewan Rakyat untuk menyekat platform media sosial TikTok. Pemimpin daripada PKR itu mengesahkan perkara berkenaan kepada Malaysiakini.

Baca Juga:

“Aplikasi seperti TikTok kini telah mengundang kegusaran banyak pihak termasuk Malaysia dalam soal keselamatan siber.

“Kerajaan Belanda, India, Taiwan dan Norway merupakan antara kerajaan yang telah melaksanakan sekatan mutlak terhadap penggunaan aplikasi tersebut menerusi peranti milikan kerajaan sebagai langkah untuk melindungi ruang siber mereka daripada dicerobohi,” katanya dengan lanjut.

Oleh itu, beliau akan membawa satu usul dalam masa terdekat menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dapat melaksanakan sekatan penuh berfasa terhadap TikTok.

Sejak memulakan operasi di Malaysia, sudah timbul pelbagai isu berkaitan penyebaran maklumat yang palsu di platform TikTok. Malah, TikTok bersetuju untuk lebih proaktif dalam penyebaran video khususnya yang menyentuh isu 3R.

Dalam pertemuan dengan wakil TikTok pada 13 Oktober lalu, Fahmi Fadzil mengatakan TikTok mengakui terdapat kelemahan dalam respons mereka dan perkara ini berlaku disebabkan ketiadaan wakil di Malaysia.

Terdahulu, TikTok sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan menafikan mereka melakukan intipan untuk kerajaan China tetapi usaha mengharamkan mereka kini sudah dimulakan pula di Malaysia.