Pahang Rangers berjaya mengenepikan cabaran hebat dijelmakan Selangor untuk mencatatkan kemenangan 6-5 pada aksi keenam Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2025 yang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan sebentar tadi.
Kemenangan itu sekali gus melonjakkan skuad kendalian Luis Fonseca tersebut di kedudukan kedua liga dengan 15 mata, tiga mata meninggalkan Selangor.
Baca Juga:
- MPFL 2025: JDT Lebih Unggul, Atasi Selangor 3-0
- Jadual Penuh Aksi MPFL Divisyen 1 2025
- MPFL Divisyen 1: Ini Perubahan Boleh Dilakukan Untuk Tarik Penyertaan Lebih Banyak Pasukan
Seperti dijangka perlawanan itu berlangsung dengan cukup mendebarkan dan turut dicemari dengan pergaduhan yang agak panas.
Beraksi di gelanggang sendiri, Pahang Rangers tampil dengan cukup garang apabila mendahului 3-2 pada separuh masa pertama.
Jaringan Pahang Rangers dihasilkan oleh Akmarulnizam Idris pada minit keempat, Felipe De Souza (minit ke-17 dan 18) manakala Vitor Fernando mencipta jaringan pada minit ke-18 dan 20 buat Selangor.
Memasuki babak kedua, Selangor pula beraksi dengan baik untuk mendapatkan dua gol bagi menjadikan kedudukan 4-3 menerusi hatrik daripada Vitor (minit ke-24) dan satu lagi jaringan hasil sumbangan Syahir Iqbal Khan Akbar Khan (minit ke-30).
Tersentak dengan jaringan tersebut, Pahang Rangers menggunakan taktikal ‘powerplay’ dan usaha mereka membuahkan hasil susulan jaringan oleh Matheus Moura pada minit ke-32 dan Razin Rahim (minit ke-39).
Tidak cukup dengan itu, Harith Na’im menambah jaringan keenam buat Pahang Rangers sebelum Vitor berusaha merapatkan jurang pada minit ke-40.
Jaringan tersebut bagaimanapun masih belum mampu untuk menghalang kemenangan penting dilakarkan Pahang Rangers pada perlawanan ini.