Johor Darul Ta’zim (JDT) menyerap tekanan hebat dengan baik untuk menundukkan pencabar utama, Pahang Rangers 7-6 dalam kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2025 pada aksi ke-10 yang berlangsung di Kompleks SUKPA, sebentar tadi.
Jumlah jaringan yang dihasilkan sudah cukup untuk menceritakan bahawa aksi cukup menarik disajikan kedua-dua pasukan dengan saling kejar-mengejar gol.
Pemain lincah JDT, Mohd Ridzwan Bakri nyata mencuri tumpuan pada perlawanan ini dengan empat gol diledakkannya.
JDT yang masih cemerlang dengan 10 kemenangan berturut-turut membuka tirai jaringan menerusi tolakan mudah Ridzwan Bakri setelah menerima hantaran lintang susulan sepakan penjuru oleh Caio Cesar Garcia Rego pada minit kelima.
Tuan rumah jelas tidak terkesan dengan jaringan tersebut apabila Matheus Moura kembali menyamakan kedudukan pada minit ketujuh.
Seminit kemudian, Razin Rahim terus menggembirakan penyokong setia Pahang Rangers hasil kuisan tenang yang berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Azrul Hadee Mohd Taufiq.
Kealpaan dalam menangani hantaran lintang lawan terus menjadi masalah buat skuad kendalian Luis Fonseca itu selepas Awalluddin Mat Nawi menolak masuk bola menggunakan dadanya ketika menerima hantaran Saad Sani pada minit ke-16.

Ketika aksi babak pertama hanya satu saat untuk ditamatkan, Felipe De Souza menjadikan kedudukan 3-2 buat Pahang Rangers menerusi serangan balas pantas.
Jaringan tersebut jelas menimbulkan kontroversi ekoran tindakan pengurusan serta pemain JDT yang membantah gol ketiga itu. Namun, pengadil perlawanan bertegas dan kekal dengan keputusan mengesahkan jaringan tersebut.
Aksi di babak kedua lebih menarik untuk diperkatakan dengan jaringan demi jaringan ditambah kedua-dua pasukan.
Ia dimulakan dengan jaringan Bruno Taffy untuk mengikat kedudukan ketika hanya seminit babak kedua bersambung.
Tidak cukup dengan itu, Harith Na’im turut hanya memerlukan seminit sahaja untuk kembali meletakkan Pahang Rangers dihadapan.
JDT Tenang ‘Potong Tang Kona’
Namun, Ridzwan Bakri tidak membenarkan kelebihan itu lebih lama dipegang oleh tuan rumah apabila beliau menjadikan kedudukan 4-4 pada minit ke-25.
Daripada kedudukan tersebut, Pahang dua kali mendapatkan jaringan pendahuluan menerusi Tuah Eizlan dan sepakan percuma Felipe tetapi Ridzwan melengkapkan hatriknya manakala Firdaus Ambiah mengikat kedudukan menjadi 6-6.
Ridzwan akhirnya menjadi wira buat skuad Harimau Selatan apabila percubaan tonjolnya selepas mendapat umpanan jauh daripada rakan sepasukan ketika aksi hanya seminit untuk ditamatkan telah menghadiahkan kemenangan penting buat JDT.
Dengan kemenangan tersebut, JDT kini mengukuhkan cengkaman di kedudukan teratas liga dengan 30 mata, enam mata meninggalkan Pahang Rangers dan Selangor.