Pemain muda Selangor FC, Muhammad Abu Khalil sah menyertai kelab Jepun yang beraksi di saingan liga divisyen tiga, Osaka FC secara pinjaman.

Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab dimana mereka mendapat tawaran seusai pemain itu menamatkan sesi percubaan selama dua minggu yang dijalani pada 24 Jun sehingga 2 Julai yang lalu.

Muhammad merupakan antara pemain muda yang telah beraksi dalam 18 perlawanan Piala MFL musim lalu dan berjaya membuat penampilan sulung dalam Liga Super Malaysia bersama skuad utama Red Giants pada tahun yang sama.

Beliau turut dipanggil menyertai pasukan bawah 23 tahun negara untuk dua Piala Asia untuk dua perlawanan menentang Uzbekistan dan Vietnam.

“Alhamdulillah, siapa sangka saya mampu bermain di luar negara? Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Selangor FC kerana memberi saya peluang untuk pergi ke Jepun secara pinjaman dengan Osaka FC.

“Saya melihat ini sebagai peluang untuk maju dalam kerjaya bola sepak saya dengan sistem yang mereka ada. Sejujurnya, banyak yang saya pelajari sepanjang sesi percubaan. Saya juga amat bersyukur kerana Osaka percaya dengan kebolehan saya untuk membantu skuad mereka meningkatkan prestasi dalam saingan Liga J3.

“Saya akan melakukan yang terbaik untuk membanggakan keluarga saya, Selangor FC, dan Malaysia, dengan matlamat lebih ramai bakat tempatan akan ditemui oleh negara lain. Insya-Allah,” katanya.

Osaka FC kini berada di tempat ke-3 berkongsi mata dengan pasukan di tempat ke-2 dalam saingan Liga J3. Kelab yang ditubuhkan pada 1996 dan terletak di Higashiosaka, Osaka itu menyatakan harapan tinggi terhadap kemampuan Muhammad Abu Khalil terutama di kawasan serangan selepas dia menjaringkan beberapa gol ketika sesi percubaan.

Menurut mereka, kemahiran serangan Muhammad adalah yang terbaik dalam pasukan semasa bersama mereka. Selaras dengan objektif mereka untuk mempromosikan bandar Osaka, mereka berbesar hati menawarkan kepada Muhammad tempoh pinjaman di Osaka FC.

Ketika ini, dua pemain Malaysia beraksi di Jepun iaitu Muhammad dan Luqman Hakim.