Kecoh sejak beberapa bulan lalu apabila MYAirline Sdn Bhd dilaporkan menggantung servis penerbangan mereka serta merta ekoran terdapat masalah kewangan dalam syarikat.

Terbaharu, syarikat ini seolah menerima sinar baharu apabila dilaporkan terdapat pelabur dari Timur Tengah sudi menandatangani perjanjian jual beli pada akhir Disember 2023 lalu.

Walau bagaimanapun, MYAirline memilih untuk tidak berkongsi lebih lanjut mengenai nama pelabur tersebut serta memaklumkan sedang berusaha untuk menyambung semula operasi menjelang pertengahan tahun ini.

Sumber: The Star

“Tindakan pertama yang diharapkan adalah pembayaran gaji dan bayaran balik kepada penumpang,” menurut sumber itu kepada Bernama.

Memandangkan kini terdapat pelabur baharu, syarikat penerbangan itu dipercayai telah memohon kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk mendapatkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) bersyarat, seterusnya Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum menerima ASL sepenuhnya untuk beroperasi.

Ditanya sama ada syarikat penerbangan itu akan dikendalikan oleh syarikat antarabangsa atau syarikat tempatan, sumber itu memaklumkan, pengambilalihan syarikat penerbangan di Malaysia memerlukan pemilikan 51 peratus pegangan saham Malaysia.

Biarpun telah memperoleh pelabur, masih tidak dapat dipastikan tempoh paling awal untuk melunaskan bayaran gaji kira-kira 900 pekerja dan bayaran balik kepada 117,000 penumpang yang terjejas.

Menurut Mavcom, sehingga 8 Jan 2023, pihaknya telah membantu seramai 4,304 pengguna untuk menerima bayaran balik melalui proses caj balik manakala sebahagiannya lagi telah mula menerima bayaran balik daripada bank terlibat.

Mavcom turut menggalakkan supaya lebih banyak pengguna yang terjejas mengemukakan permohonan bayaran balik dengan bank terlibat atau menghubungi suruhanjaya itu sekiranya memerlukan bantuan lanjut.

Mavcom memberi penekanan membantu seramai mungkin pengguna yang terjejas untuk menerima bayaran balik akibat penggantungan itu selain memastikan hak perjalanan udara pengguna dilindungi, katanya.

Setakat ini, laporan daripada Bernama juga difahamkan masa depan sebilangan pekerja MYAirline masih menjadi tanda tanya.

Sumber