Baru-baru ini penyanyi dan pelakon, Nur Nabila Mohd Razali, 31, dan ibunya didenda RM480 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, lapor Berita Harian.
Kedua-duanya menerima empat pertuduhan membenarkan dan memandu sebuah kereta dengan cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans, pada Januari lalu.
Baca Juga:
- Nabila Razali ‘Nervous’ Masak Sahur Untuk Suami Buat Kali Pertama
- Kes Curang Makin Meningkat, Ini Respon Nabila Razali Terhadap ‘Orang Ketiga’
- Nabila Razali Belum Sempat Masak Untuk Suami
Majistret, Dr Teoh Shu Yee, memutuskan denda itu selepas menerima pengakuan bersalah ibunya, Shamsidah Abdul Rahman, 58, selaku orang kena saman (OKS) dan mewakili Nur Nabila serta mensabitkan mereka seperti pertuduhan.
Memetik laporan Berita Harian lagi, Nabila hanya mewakilkan ibunya melalui surat untuk menghadapi semua pertuduhan.
Mengikut dua pertuduhan, Nur Nabila sebagai pemilik berdaftar sebuah kereta, didapati membenarkan ibunya, Shamsidah menggunakan kenderaan itu di atas jalan raya dengan LKM tamat tempoh pada 29 September 2023 dan tanpa polisi insurans bagi pihak ketiga.
Sementara ibunya pula didakwa atas dua pertuduhan iaitu sebagai pemandu didapati menggunakan kenderaan berkenaan dengan LKM tamat tempoh dan tanpa perlindungan insurans pihak ketiga.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 9 Januari 2024, kira-kira jam 11.50 pagi di Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini.
Pendakwaan kes dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan 1987, Fadzil Abu, manakala OKS tidak diwakili peguam bela.
Dalam rayuannya, Shamsidah memohon hukuman denda ringan alas alasan dia hanya seorang suri rumah.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM120 atau penjara sehari jika tidak bayar bagi setiap pertuduhan. OKS membayar denda berkenaan yang berjumlah RM480.