Tidak seperti apa dilakukan Steve Clarke dan Hong Myung Bo yang meletakkan jawatan selepas gagal membawa pasukan masing-masing ke pusingan 32 Piala Dunia 2026, Julian Nagelsmann dilihat tidak mahu melepaskan jawatannya bersama skuad kebangsaan Jerman.
Jerman sekali lagi gagal melangkah ke pusingan 16 selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti ketika bertemu Paraguay, pagi tadi.
Ia merupakan kali ketiga berturut-turut Jerman gagal melepasi pusingan 16 selepas terkandas seawal peringkat kumpulan pada edisi 2018 dan 2022.
Menjadi lumrah selepas mengalami kegagalan, pengurus pastinya menjadi individu pertama yang didesak untuk melepaskan jawatan mereka. Ia tidak terkecuali buat pengendali berusia 38 tahun itu.
Nagelsmann Enggan Menyerah
Nagelsmann bagaimanapun tidak menghiraukan apa yang sedang dialami skuad kendaliannya dan kekal teguh untuk terus membimbing Jerman dan menegaskan bahawa beliau mampu mengubah keadaan tepat pada waktunya menjelang Euro 2028 dan Piala Dunia 2030.
“Saya bukan seorang yang akan melarikan diri,” ujar Nagelsmann menurut sumber laporan Sport Bible.
“Ini bukan kali pertama perkara seperti ini berlaku dan ada beberapa perkara daripada perlawanan hari ini yang perlu diubah. Tetapi jika DFB (Persatuan Bola Sepak Jerman) mahu saya teruskan, saya akan teruskan.”
“Saya tahu mekanisme bola sepak. Saya tahu bagaimana industri ini berfungsi. Saya tahu ramai orang akan mahukan saya pergi, tetapi saya sangat mahu teruskan jika DFB mahukan saya untuk terus kekal.”