Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan kehadiran 10,000 pelancong Bangladesh berpendapatan tinggi tahun ini, lapor Harian Metro.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, usaha sedang dilakukan bagi menarik kemasukan pelancong dari Bangladesh menerusi kerjasama dengan pemain industri mereka.

Baca Juga:

“Saya difahamkan kira-kira lebih 3,000 pelancong Bangladesh pergi ke Thailand setiap bulan dan 1,000 pergi ke Singapura sedangkan kadar pertukaran wang negara kita lebih rendah yang boleh menarik mereka melancong ke negara kita.

“Jika mereka mampu pergi ke Singapura, mengapa hanya 500 saja rakyat negara itu yang datang Malaysia dan kita perlu ambil peluang menarik kehadiran pelancong dari sana seramai mungkin,” katanya.

Beliau berkata sedemikian semasa Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Hotel Negeri Sembilan (MAH) dengan ejen pelancongan terkemuka di Bangladesh iaitu Cosmos Holiday Bangladesh di sini.

Dalam pada itu, beliau mendapati salah satu faktor kekurangan pelancong dari negara terbabit disebabkan masalah permohonan visa yang mengambil masa agak lama untuk diluluskan berbanding negara jiran yang hanya mengambil masa tiga hari.

Sehubungan itu katanya, beliau akan berbincang dengan pihak berwajib bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Sebagai fasa permulaan, kira-kira 160 pelancong dari negara itu akan datang ke Negeri Sembilan pada Mei ini menerusi komitmen daripada Cosmos Holiday Bangladesh.

“Mereka difahamkan akan turun di Lapangan Terbang Melaka dan terus ke Port Dickson untuk bermain golf.

“Keunikan dan kelebihan negara kita kerana mesra Muslim dan kebanyakan rakyat negara itu pula beragama Islam dan kita akan gunakan kelebihan ini (bagi menarik mereka).

“Selain itu saya juga dapati mereka berminat dengan pelancongan perubatan dan pelaburan,” katanya.

Sumber