Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas dibelasah JDT 1-6 pada aksi final Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.
Final sepatutnya berlangsung dengan sengit namun Nidzam akui Selangor masih perlu bekerja keras untuk membentuk pasukan yang lebih baik selepas ini.
Baca Juga:
“Jujur tak gembira (keputusan perlawanan). Memang tak gembira. Keputusan yang mengecewakan banyak tempat, banyak pihak. Benar kami tak gembira dengan keputusan ini.
“Ini menunjukkan betapa kami kena kerja keras lagi. Kena bersiap sedia lebih baik dan dengan keputusan ini, kami perlu sediakan pasukan dengan lebih baik lagi,” katanya.
Pada aksi seterusnya, JDT terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi sepakan percuma daripada Juan Muniz yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Selangor, Sam Somerville pada minit ke 23.
Ketika Selangor masih mencari rentak permainan, skuad kendalian Hector Bidgolio terus melancarkan serangan bertali arus dan berjaya menjaringkan gol kedua menerusi tandukan Arif Aiman hasil hantaran Oscar Arribas.
Usaha Selangor mengandakan asakan akhirnya membuahkan hasil apabila Alvin Fortes merapatkan jurang dengan merembat masuk gol pertama pada minit ke 58.
Bagaimanapun, jaringan itu tidak bertahan lama selepas Bergson Da Silva menambah gol ketiga JDT pada minit ke 61 apabila rembatannya gagal ditangkap kemas oleh Sam Somerville.
BERGSONNNNNNNN!#DemiLigaKita #JDTSEL pic.twitter.com/SuofvL17Ym
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) August 24, 2024
JDT terus menghukum kelekaan benteng pertahanan Selangor. Hasil umpanan daripada Bergson, Juan Muniz mengambil kesempatan melakukan rembatan voli untuk gol keempat JDT pada minit ke 66.
Jaringan tersebut turut mematikan semangat pemain Selangor dan kali ini giliran Heberty menambah gol kelima pada minit 75. Juan Muniz juga sempat melengkapkan hatrik menerusi sepakan percuma pada minit ke 89 sekaligus jaringan keenam JDT di pentas final.
Keputusan 6-1 menyaksikan JDT julang trofi Piala FA buat kali keempat sejak tahun 2016.