Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun baru-baru ini berkongsi faktor mengapa kemasukan warga asing di Nilai tinggi dengan salah satunya adalah kerana kadar sewa yang murah di negeri tersebut.

Memetik laporan BERNAMA, Aminuddin turut mendedahkan faktor lain ialah Nilai telah dijadikan tempat transit warga asing sebelum mereka dihantar bekerja di negeri jiran.

Baca Juga:

Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga memegang jawatan pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keselamatan menjelaskan kadar sewa murah itu berikutan premis di Nilai ditukar menjadi asrama pekerja.

Selain itu, Aminuddin berkata, jumlah warga asing yang semakin meningkat juga mencetuskan rasa kurang senang buat orang ramai terutamanya mereka yang tinggal di kawasan tersebut kerana ada antara warga asing tersebut didapati melanggar undang-undang.

“Oleh itu, adalah penting bagi pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan bagi memantau keadaan dan memastikan (majikan dan pekerja asing) mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Untuk rekod, Menteri Besar Negeri Sembilan turut berkongsi di Facebook bahawa beliau menyertai operasi bersepadu yang digelar Op Sabong pada 28 Oktober dengan 350 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan berpangkalan di Neger Sembilan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam.

Dalam operasi 5 hari yang bermula pada 24 Oktober lalu, lebih 1,000 warga asing telah disaring, 254 premis diperiksa dan 185 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen. Selain itu, 398 kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Sumber