Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh pernah membuat keputusan untuk mengambil anak angkat bersama bekas isterinya, Mizz Nina sebelum memilih untuk berpisah.
Dinamakan sebagai Musa, kanak-kanak ini sebelum ini dijaga oleh Noh Salleh dan Mizz Nina manakala selepas berpisah Musa dijaga bergilir-gilir secara berasingan.
Baca Juga:
- Berebut Hak Penjagaan Anak, Noh Salleh Akui Hidupnya Sukar Selepas Bercerai Dengan Mizz Nina
- ‘Ini Beruk Bukan Rocker’ – Awie ‘Sound’ Noh Hujan Isu Ludah Sewaktu Menyanyi Atas Pentas
- Selamba Ludah Pada Arah Penonton, Tindakan ‘Rockstar’ Noh Hujan Dikecam Netizen
Terbaharu, Noh Salleh menerusi perkongsian di Instagram meluahkan rasa berat hati selepas terpaksa menyerahkan Musa kepada pihak Mizz Nina dan suami.
Difahamkan pasangan itu datang ke kediamannya bersama pihak polis dan beberapa orang lain yang tidak dikenali untuk tujuan mengambil Musa daripada jagaannya.
“Dalam jam lebih kurang 8.30 malam (Sabtu), pihak Mizz Nina telah pun hadir di rumah saya bersama-sama suami beliau serta pihak polis dan beberapa orang lain yang tidak dikenali untuk tujuan mengambil Musa dari jagaan saya dengan perintah interim (jagaan sementara) dari Mahkamah Syariah sebelum sesi mediasi.
“Saya faham dan bagi menghormati perintah mahkamah, saya dengan terpaksa dan berat hati menyerahkan Musa kembali dan akan meminta nasihat peguam saya. Hanya Tuhan saja yang mengetahui betapa hancurnya hati saya,” tulisnya.
Noh juga memaklumkan tiada sebarang insiden perebutan berlaku kerana dia masih percaya dengan jalan perdamaian dan apa yang penting adalah kesihatan fizikal dan mental Musa.
“Saya berharap kenyataan ini jelas dan tiada sebarang spekulasi dari mana-mana pihak dan saya juga berterima kasih atas segala doa dari kalian,” katanya.
Terdahulu, Noh atau nama sebenarnya, Mohammad Noh Salleh tampil ditemubual dalam program Melodi di TV3 yang disiarkan semalam untuk menjawab dan menjelaskan keadaan sebenar berkaitan isu ‘penculikan’ anak yang timbul sebelum ini.
Bagaimanapun, dalam hantaran dibuatnya itu Noh berkata, dia ditemubual Melodi pada tarikh 13 Januari lalu (Sabtu) pada jam lebih kurang 2.45 petang.
“Terima kasih pada mereka yang mendoakan agar masa depan Musa terjamin harmoni. Buat pengetahuan umum, interview (temubual) bersama Melodi telah dijalankan pada tarikh 13/1/2024 pada jam lebih kurang 2.45 petang,” jelasnya.
Dalam temubual Melodi itu, Noh berkata, apa yang berlaku bukanlah isu perebutan kerana semua urusan dibuat secara mengikut undang-undang serta dilengkapkan bersama dokumen sah dan tiada unsur penculikan sebagaimana didakwa.
“Musa diserahkan ibu kandungnya dengan rela hati dan amanah itu diberikan kepada saya,” katanya menyifatkan dakwaan ‘penculikan’ yang timbul sebagai fitnah kerana memang tidak berlaku langsung.
“Saya tak pernah kena tangkap, cuma hanya diminta hadir ke balai polis untuk beri keterangan Tak sampai kena gari atau tiada siapapun masuk lokap, semuanya berjalan lancar,” tambah Noh.
Terdahulu, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Julai 2011, namun, bercerai pada Ogos 2022 dan mereka tidak dikurniakan anak. Kini, Noh mahu pun Mizz Nina sudah mendirikan rumah tangga kali kedua dengan pasangan pilihan masing-masing.