Juara bertahan saingan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tengah skuad kebangsaan iaitu Nooa Laine.

Perkara ini dinyatakan oleh pemilik kelab, Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) dimana beliau menjelaskan pasukannya akan menandatangani pemain itu pada musim akan datang.

Baca Juga:

“Noaa Laine selepas ini, semua sudah diselesaikan,” katanya ringkas di laman media sosial Instagram miliknya.

Bagaimanapun, komen itu dibuat dengan nada sinis memandangkan orang ramai sering melabel keputusan JDT hanya akan menjatuhkan mutu bola sepak negara.

“Bukan musim ini, pada masa akan datang. Sebagai pembunuh bola sepak tanah air, dari dulu saya dah banyak kali katakan yang saya akan terus membunuh bola sepak tanah air.

“Dah 11 tahun saya merosakkan bola sepak tanah air dalam setiap aspek. Saya menyeru kepada penyokong bola sepak tanah air bersatu padu dan beramai-ramai hentikan agenda saya ini,” katanya.

Baru-baru ini, JDT mengumumkan ketibaan pemain import baharu dari Brazil iaitu Murilo Henrique bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia.

Pemain berusia 28 tahun itu beraksi di posisi pertahanan kiri dan beliau bakal menggantikan tempat Oscar Arribas yang akan dipinjamkan keluar ke kelab lain.

Lebih menarik, Henrique juga merupakan bekas rakan sepasukan pemain kacukan negara, Nooa Laine ketika beraksi bersama kelab Finland, SJK Seinajoki pada musim lepas.

JDT setakat ini sudah mengumumkan tiga pemain import baharu termasuk pemain skuad kebangsaan Syria, Jalil Elias dan pemain dari Portugal, Francisco Geraldes.

Malah, mereka juga mengesahkan Fernando Forestieri kekal bersama Harimau Selatan walaupun pada awalnya mengumumkan pemain Argentina itu dilepaskan bersama beberapa pemain lain sebagai salah satu langkah penjimatan.