Seorang lelaki di Sabah ditangkap polis bagi membantu siasatan selepas dipercayai memuat naik kenyataan menghina agama Islam dalam laman Facebook pada Sabtu lepas.
Lelaki yang dikenali sebagai Ricky Shane Ca itu telah menulis satu hantaran komen yang menyentuh sensitiviti masyarakat beragama Islam.
Baca Juga:
- Dua Mat Saleh Ini Sanggup Terbang Ke Malaysia Demi Menyambut Ramadan
- Starbucks Lengang, Minah Salleh Ini Kagum Lihat Kuasa Boikot Rakyat Malaysia
“Allah di tapak kaki i pun satu isu, mentaliti sampah,” tulisnya di satu ruangan komentar Facebook.
Individu yang berasal dari Sabah itu meninggalkan komen tersebut selepas mengulas mengenai isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH SWT di beberapa kedai rangkaian serbaneka, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd.
Pihak pengurusan tertinggi KK Supermart & Superstore Sdn Bhd. juga sudah membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu tersebut.
Susulan daripada itu, rata-rata warga maya mengecam komen yang ditulis oleh Ricky Shane.
Menyedari kesilapannya, Ricky Shane kemudiannya tampil memohon maaf di Facebook miliknya pada Ahad.
“Saya Ricky Shane memohon ampun terhadap warga-warga Muslim atas kesalahan yang saya buat tentang isu tular (baru-baru ini).
“Saya amat kesal atas perbuatan cuai saya dan mohon semua muslim memaafkan saya dengan seikhlas hati atas segala hantaran dan komen saya selama ini,” tulisnya.
Ricky Shane yang kesal dengan tindakannya itu turut mengakui bahawa dirinya sudah memeluk Islam sejak dua tahun lalu.
“Sebenarnya saya mualaf sudah dua tahun, masih banyak perlu saya belajar dan hormat terutamanya agama Islam.
“Saya minta agar kamu faham kita manusia biasa buat kesilapan dan saya minta ampun agar bulan Ramadan ini, kita boleh bermaaf-maafan antara satu sama lain.
“Saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang besar ini dan akan bertaubat. Sekali lagi saya minta maaf kepada yang terlibat,” katanya.
Namun, nasi sudah pun menjadi bubur. Tindakan Ricky Shane itu tidak dapat memadam kemarahan api warga maya.
Susulan daripada tindakannya itu, orang awam telah mengambil tindakan sendiri sekali gus menyerbu dan mengepung di bawah kediamannya selama hampir enam jam di Kota Kinabalu, Sabah sebelum Ricky Shane dibawa ke balai polis berdekatan oleh pihak berkuasa pada Ahad.
Selain itu, ada juga netizen berjaya mengesan komen lain berbaur penghinaan yang dibuat oleh lelaki tersebut. Susulan itu, ramai mahu dia dikenakan tindakan yang keras walaupun sudah membuat permohonan maaf baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah mengesahkan lelaki itu sudah dipanggil ke balai polis untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (SKMM) 1998.