Rakyat Malaysia sangat bertuah kerana pihak kerajaan ada menyediakan pelbagai perkhidmatan percuma untuk kemudahan orang ramai.

Namun, tidak semua yang mahu ambil peluang untuk menggunakannya.

Baca Juga:

Baru-baru ini Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mendedahkan perkhidmatan bas percuma disediakan kerajaan Negeri Sembilan, bagi laluan Seremban, Jempol dan Nilai terpaksa dihentikan susulan kurang sambutan, lapor Harian Metro.

Perkhidmatan khas untuk rakyat itu dihentikan sepenuhnya bermula 1 Jun lalu dan dan digantikan dengan perkhidmatan myBAS dikendalikan Kementerian Pengangkutan.

“Kita telah beroperasi lama (bas percuma) dan sehingga kini sambutan yang diterima kurang memberangsangkan. Malah yang banyak menggunakan bas percuma ini hanyalah warga asing dan bukannya warga tempatan.

“Memandangkan kita sudah ada perkhidmatan myBAS, iaitu bas awam henti-henti yang turut menyediakan laluan sama di semua kawasan dan daerah di negeri ini, jadi kita merasakan bahawa penggunaan bas percuma itu tidak lagi diperlukan,” kata Datuk Seri Aminuddin.

Tambahnya lagi, terdapat kira-kira 90 myBAS disediakan meliputi seluruh kawasan daerah di Negeri Sembilan. Pada masa sama, perkhidmatan itu percuma untuk warga emas, Orang Kurang Upaya, kanak-kanak dan pelajar sekolah.

Bas itu juga melalui laluan yang sama di seluruh kawasan kampung dan daerah ke daerah.

“Masyarakat masih boleh menggunakan perkhidmatan bas awam ini seperti biasa mengikut jadual laluan yang ditetapkan.

“Bagaimanapun jika ada permintaan yang mendesak untuk mengembalikan semula perkhidmatan tersebut, kita akan meneliti semula pada masa akan datang,” katanya.

Sumber