Empat daripada tujuh wakil negara dalam saingan Orleans Masters 2026 berjaya melepasi peringkat awal untuk beraksi di pusingan 16 pada malam ini.
Justin Hoh menjadi wakil tunggal negara dalam perseorangan lelaki selepas mengejutkan pilihan kelima kejohanan dari Chinese Taipei, Chi Yu Jen 21-9, 14-21, 24-22.
Kejutan turut dilakarkan pemain perseorangan wanita kedua negara, Wong Ling Ching selepas beraksi cemerlang untuk menundukkan pilihan kelapan, Zhang Beiwen dari Amerika Syarikat, 21-19, 13-21, 23-21.
Dua lagi wakil negara hadir menerusi sektor beregu lelaki dan beregu wanita menerusi Kang Khai Xing-Aaron Tai dan Ong Xin Yee-Carmen Ting.
Khai Xing-Aaron menewaskan pasangan Rusia, Rodion Alimov-Maksim Ogloblin 21-11, 21-17 manakala Xin Yee-Carmen pula menundukkan gandingan tuan rumah, Emmy Guilbard-Anouk Nambot 21-7, 21-10.
Berikut merupakan jadual perlawanan bagi pusingan 16 melibatkan wakil Malaysia di Orleans Masters 2026:
Pusingan 16 Orleans Masters 2026
1) Ong Xin Yee-Carmen Ting lawan Lauren Lam-Allison Quynh Lee (Amerika Syarikat) – 8.50 Malam – Gelanggang 4
2) Kang Khai Xing-Aaron Tai lawan Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer (Denmark) – 10.20 Malam – Gelanggang 2
3) Wong Ling Ching lawan Malvika Bansod (India) – 11.10 Malam – Gelanggang 2
4) Justin Hoh lawan Su Li Yang (Chinese Taipei) – 2.40 Pagi – Gelanggang 3