Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mencetuskan satu momen yang mencuri perhatian pada Khamis lalu di Kongres FIFA di Vancouver.

Beliau cuba untuk mendamaikan presiden Persatuan Bola Sepak Palestin dan naib presiden Persatuan Bola Sepak Israel, namun rancangan ‘mengarut’ itu gagal sepenuhnya.

Jibril Rajoub, presiden Persatuan Bola Sepak Palestin, dan naib presiden Persatuan Bola Sepak Israel, Basim Sheikh Suliman, dipanggil naik ke pentas oleh Infantino.

Pimpinan FIFA itu berusaha bersungguh-sungguh untuk membuatkan kedua-duanya berjabat tangan, namun Rajoub menolak. Penolakan tersebut sememangnya berkait rapat dengan perang antara Israel dan Hamas.

“Saya tidak boleh berjabat tangan dengan seseorang yang dilantik oleh Israel untuk menutup fasisme dan genosid mereka. Kami menderita,” kata Rajoub kepada Infantino sebelum meninggalkan pentas.

Palestin Teguh Berdiri

Menurut sumber laporan Goal Indonesia, Susan Shalabi, naib presiden Persatuan Bola Sepak Palestin turut meluahkan ketidakpuasannya terhadap usaha Infantino selepas kongres berakhir.

Menurutnya, tindakan Infantino menunjukkan bahawa beliau tidak mengambil berat tentang ucapan Rajoub, yang sebelum itu meminta Israel supaya tidak menubuhkan kelab di penempatan di Tebing Barat.

“Meminta untuk berjabat tangan selepas semua yang telah diperkatakan merosakkan keseluruhan tujuan ucapan yang disampaikan Rajoub,” kata Shalabi.

“Beliau menghabiskan kira-kira 15 minit untuk menjelaskan kepada semua orang betapa pentingnya peraturan-peraturan tersebut.”

“Bagaimana perkara ini dengan mudah boleh mewujudkan satu contoh di mana hak-hak persatuan ahli dilanggar secara terang-terangan, dan kemudian kita hanya menyembunyikannya begitu sahaja. Itu benar-benar tidak masuk akal,” tambah Shalabi.

Rajoub juga bersuara selepas acara selesai. “Bagaimana mungkin saya boleh berjabat tangan dengan seseorang yang mewakili kerajaan yang fasis dan rasis? Malah mempertahankannya! Saya rasa saya tidak perlu berjabat tangan dengannya. Dia bukan rakan yang layak.”

“Saya memahami dan mengakui bahawa persekutuan Israel mempunyai hak untuk menganjurkan dan membangunkan sukan, tetapi ia mesti dalam batas yang diiktiraf antarabangsa. Adakah dia (Suliman) bersedia untuk mengatakan perkara yang sama tentang Palestin…?”

Sumber