Pada zaman sekarang majoriti daripada pemandu kenderaan sudah terbiasa dengan kereta transmisi automatik (AT) berbanding transmisi manual (MT).

Masuk mod Drive (D), tekan minyak, dan jalan. Malah, dengan teknologi pemanduan pintar seperti Adaptive Cruise Control (ACC), pemandu kadangkala langsung tidak perlu berbuat apa-apa di lebuh raya.

Ada yang berpendapat, teknologi yang terlalu memudahkan ini seolah-olah ‘memanjakan’ otak kita hingga menjadi pasif.

Bagi golongan veteran atau “pakcik-pakcik” yang mahu mengekalkan kecergasan minda dan mengelakkan risiko nyanyuk (dementia), jawapannya mungkin ada pada kereta manual (MT).

Bukan kereta sukan berkuasa tinggi, tetapi kereta manual harian yang biasa-biasa sahaja.

Kenapa Memandu Manual Boleh Cegah Nyanyuk?

Kenyataan bahawa pemanduan manual baik untuk otak bukanlah mitos, menurut portal Best Car Web-Japan, hasil penyelidikan oleh Profesor Ryuta Kawashima dari Universiti Tohoku — pakar terkemuka dalam bidang latihan otak — telah membuktikan perkara ini:

Mengaktifkan Otak Hadapan (Prefrontal Cortex): Memandu manual memerlukan anda menyelaraskan kaki kiri (klac), tangan kiri (gear), kaki kanan (minyak/brek), dan mata secara serentak. Aktiviti multi-tugas yang kompleks ini mengaktifkan bahagian otak yang mengawal keputusan dan pemikiran kritikal.

Sentiasa Berfikir dan Bekerja: Berbeza dengan kereta automatik yang pasif, pemandu manual perlu sentiasa menilai kelajuan dan situasi jalan untuk memilih gear yang paling sesuai. Beban kognitif yang sihat ini bertindak seperti ‘senaman’ untuk sel-sel otak.

Kesihatan Mental yang Lebih Baik: Kajian menunjukkan individu yang kerap memandu kenderaan bergear (termasuk motosikal) mempunyai tahap kesihatan mental dan fungsi kognitif yang jauh lebih baik kerana pemanduan tersebut memerlukan fokus yang tinggi.

Genius Yang Altruistik

Profesor Ryuta Kawashima merupakan pencipta dan pakar sains di sebalik siri permainan video ‘Brain Age’ (atau dikenali sebagai Dr. Kawashima’s Brain Training di pasaran luar AS/Jepun) untuk platform Nintedo.

Menerusi populariti permaian video tersebut,beliau berhak menerima wang royalti yang mencecah lebih 11 juta USD (kira-kira RM45+ juta), beliau menolak kesemua wang tersebut untuk poket peribadinya.

Namun, beliau hanya mengambil gaji biasa sebagai profesor dan meminta Nintendo menyalurkan kesemua wang royalti itu terus ke universiti untuk membiayai makmal penyelidikan strok dan kajian otak.

Sumber