Sekarang rakyat Malaysia sedang giat memboikot sejumlah jenama yang berkait dengan negara Israel. Dengan berbuat sedemikian, memang boleh memberi impak yang besar terhadap sesuatu perniagaan.

Namun, wujud segelintir individu yang tampil ekstremis di mana mereka akan melancarkan kempen boikot terhadap sebarang jenama secara membabi buta tanpa kaji selidik latar belakang sama ada berkait dengan Israel atau tidak.

Baca Juga:

Seorang pempengaruh tempatan yang juga dikenali sebagai Ceddy telah meluahkan kekecewaan berhubung segelintir individu di internet yang menyerangnya ketika sedang membuat live untuk sebuah jenama susu terkemuka, Dutch Lady.

Difahamkan dia telah dituduh sebagai penyokong Israel kerana mempromosikan susu tersebut walhal ia sebenarnya memang berasal dari Malaysia. Ramai menyangka jenama susu itu berkait dengan Nestle yang dikatakan memberi sokongan kepada kerajaan rejim Israel.

Tanpa membuat semakan latar belakang, sejumlah netizen memenuhi ruangan komen dengan kempen boikot terhadap Dutch Lady.

Malah, Ceddy merasa terkilan dengan komen negatif yang terlampau banyak sehingga menenggelamkan komen mereka yang benar-benar mahu mengetahui lebih lanjut tentang produk yang dijual.

Dalam pada itu, dia juga menegaskan bahawa memang berpihak kepada Palestin sekaligus mana mungkin tolong menjual produk yang mempunyai pertalian dengan kerajaan regim Israel.

Ceddy turut memaklumkan dia telah menjelaskan bahawa Dutch Lady berasal daripada Malaysia dan tidak menyumbang kepada Israel namun tetap sebahagian netizen memilih untuk membidas kenyataan tersebut.

Selain itu, dia turut bersetuju dengan satu komentar yang mengatakan rakyat Malaysia terlalu skeptikal dengan jenama menggunakan bahasa Inggeris. Habis semua dituduh datang dari luar negara meskipun  realitinya berasal dari Malaysia sendiri.

Untuk makluman, Dutch Lady Milk Industries Berhad(menjalankan perniagaan sebagai Dutch Lady Malaysia) ialah pengeluar susu lembu dan produk tenusu di Malaysia yang ditubuhkan pada 1963.

Dutch Lady Malaysia yang kini merupakan anak syarikat FrieslandCampina, yang telah ditubuhkan pada Disember 2008 hasil penggabungan antara Friesland Foods dan Campina.

Diharapkan semua pengguna  menjadi individu yang bertanggungjawab dalam perihal memboikot produk kerana ia boleh menjejaskan reputasi dan juga jualan sesebuah bisnes. Pastikan anda menyemak maklumat yang sahih sebelum membuat sebarang andaian yang tidak berasas.

Sumber