Paul Scholes setuju dengan tindakan Man United segera mencari pengganti untuk Andre Onana. Ini kerana menurut Scholes, kelab kesayangannya itu itu ada isu yang jelas dengan masalah penjaga gol.
Tetapi Scholes mengecam Man United yang tidak mengambil kesempatan untuk menandatangani Donnarumma ketika penjaga gol itu diumumkan tidak lagi berada dalam perancangan PSG, dan disenarai untuk dijual.
Menurut Scholes, United seharusnya membeli Donnarumma, yang memiliki reputasi dan sudah terbukti sebagai salah seorang penjaga gol terbaik di dunia ketika ini. Bukannya menandatangani budak dari Belgium – merujuk kepada Senne Lammens.
Donnarumma menyertai Man City dengan nilai perpindahan sekitar £26 juta. Dan United membelanjakan £18.2 juta untuk membeli Lammens.
Selain itu Scholes juga menegaskan United seharusnya menyedari Onana tidak cukup bagus sejak musim lalu lagi.
Scholes berkata: “Penjaga gol adalah isu yang besar di Man United.
“Ianya seperti, kamu memerlukan sehingga perlawanan di Grimsby hari itu untuk menyedari bahawa Onana tidak cukup bagus?

“Lepas tu kamu nampak seseorang seperti Donnarumma tersedia dan kamu fikir, ini peluang terbaik, di mana kita boleh beli penjaga gol dengan harga £35 juta hingga £40 juta yang boleh kita guna untuk 10 tahun akan datang.
Donnarumma sebelum ini pernah dikaitkan secara longgar dengan perpindahan ke Old Trafford, namun United memberi keutamaan kepada Lammens manakala Manchester City pantas menyambar Donnarumma selepas meluluskan perpindahan Ederson ke Fenerbahce.
‘Donnarumma persis Schmeichel’
Walaupun City sebelum itu sudah menandatangani James Trafford. Tetapi City melihat ini adalah peluang terbaik mereka memiliki penjaga gol sekelas Donnarumma.
Scholes kemudian berkata: “Kalau Man United tidak sedaya upaya untuk cuba dapatkan Donnarumma ketika dia tersedia, itu satu ‘jenayah’ bagi saya.
“Kamu beli budak dari Belgium ini. Harga dia apa? €20 juta (£18.2 juta). Bagi saya itu dah cukup menjelaskan segala-galanya tentangnya. [Yuran perpindahan] itu bagi saya jelas, bahawa dia [Lammens] bukan penjaga gol bertaraf dunia.

“Dan kalau dia benar-benar penjaga gol hebat, dia akan terus bermain, terus masuk ke perlawanan besar [sebaik sahaja dibeli].
“Kerana kita tahu United ada masalah besar di posisi penjaga gol.
“Kes Donnarumma ni adalah kesilapan paling besar yang saya nampak. Sebaik sahaja lelaki itu tersedia, pergi pandu kereta ke Paris, pergi dapatkan dia, beri apa sahaja yang dia mahukan.
“Dia mungkin mudah menjadi penjaga gol terbaik dunia… dia mengingatkan saya kepada Peter Schmeichel.”
This Gianluigi Donnarumma save 😧 pic.twitter.com/xmzUkordtL
— Premier League (@premierleague) September 15, 2025
Kenapa tak beli pemain tengah?
Scholes turut mengkritik urusan pembelian United di posisi lain, apabila bahagian tengah mereka sering ditembusi pada Ahad lalu dengan Manuel Ugarte bergelut di samping Bruno Fernandes, yang kini bermain di posisi lebih ke bawah berbanding biasa.
Scholes juga meluahkan rasa hairan kenapa bekas kelabnya itu tidak berusaha memperkuatkan posisi tersebut.
“Sepanjang musim panas saya fikir seorang pemain tengah dengan tenaga, mampu bermain dan mengawal permainan bola sepak sepatutnya jadi keutamaan utama,” jelasnya.
“Tetapi bahagian pengurusan memilih untuk membeli penyerang. Ya, bahagian serangan memang perlu diperbaiki, tapi adakah mereka perlukan tiga orang sekali gus? Saya tak pasti.”
United, yang kini berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris, akan kembali beraksi Sabtu ini menentang Chelsea, sebelum bertemu Brentford dan Sunderland dalam aksi penting menjelang rehat antarabangsa.