Legenda Manchester United, Paul Scholes meluahkan kebimbangan terhadap keputusan Arsenal yang dilaporkan bersedia melepaskan sensasi remaja, Myles Lewis-Skelly.

Bekas pemain tengah itu percaya The Gunners bakal melakukan kesilapan besar sekiranya membenarkan produk akademi tersebut meninggalkan kelab, lebih-lebih lagi apabila beberapa kelab pesaing turut memantau situasinya.

Scholes Lebih Memilih Myles Lewis-Skelly

Scholes jelas dengan pilihannya apabila lebih menggemari pemain muda England itu berbanding bintang Sepanyol yang lebih berpengalaman.

“Saya lebih memilih Lewis-Skelly untuk bermain di posisi tengah berbanding Zubimendi. Saya fikir Zubimendi bergelut musim lalu. Jika ada seorang pemain yang perlu dilepaskan, saya akan memilihnya,” kata beliau menurut sumber laporan Goal.

Scholes Pertikai Keputusan Arsenal Mahu Lepaskan Lewis-Skelly, Kaitkan Dengan Situasi Welbeck Tinggalkan Man Utd
Kredit Foto: Glyn KIRK / AFP)

Scholes turut menjelaskan mengapa kehilangan pemain hasil akademi seperti Lewis-Skelly boleh memberi kesan buruk terhadap budaya sesebuah kelab.

Beliau membandingkan situasi itu dengan kontroversi ketika masih bergelar pemain Manchester United apabila produk akademi terpaksa dilepaskan bagi memberi ruang kepada pemain luar yang belum tentu mempunyai potensi lebih besar.

Scholes dalam masa sama turut mengaitkan situasi berkenaan dengan keputusan Manchester United menjual penyerang mereka ke kelab di London Utara beberapa tahun lalu, yang menurutnya memberi kesan dari sudut emosi dan juga sukan.

“Ia sedikit mengingatkan saya ketika Danny Welbeck meninggalkan Manchester United. Saya sangat tidak menyukainya. Danny ketika itu sedikit lebih berusia berbanding Myles Lewis-Skelly, tetapi apabila anda kehilangan pemain hasil akademi sendiri, ia sememangnya mengecewakan,” katanya.

Sumber