Legenda Manchester United, Paul Scholes mendedahkan ‘penyesalan terbesar dalam karier bola sepaknya’ yang secara tidak langsung melibatkan bekas pengurusnya, Sir Alex Ferguson.

Meskipun berjaya merangkul 25 trofi utama termasuk 11 kejuaraan English Premier League (EPL) dan dua gelaran UEFA Champions League (UCL), Scholes mengakui bahawa penyesalan terbesarnya bukanlah disebabkan oleh kegagalan untuk menjaringkan gol atau kekalahan dalam perlawanan akhir.

Sebaliknya, ia berpunca daripada satu perbualan bersama pengurus legenda itu yang diakui Scholes sebagai detik paling ingin beliau padamkan daripada ingatannya.

Ketika berada di puncak prestasi, Paul Scholes dipancing oleh Inter Milan dengan jumlah gaji lumayan yang sanggup ditawarkan oleh kelab tersebut sekiranya beliau bersetuju meninggalkan Old Trafford.

Penyesalan Paul Scholes

“Saya berusia 25 tahun ketika itu. Inter Milan menawarkan saya gaji sebanyak £4 juta setahun, bebas cukai,” ujar Scholes menurut sumber laporan Goal.

“Pada waktu itu, jumlah itu sangat besar,  mungkin lebih daripada dua kali ganda gaji saya di Manchester United.”

“Saya masih ingat melihat laporan di muka belakang akhbar,  £30 juta ke Inter Milan atau sesuatu seperti itu.”

“Tapi selepas itu saya tak pernah dengar apa-apa lagi. Isu itu terus lenyap begitu sahaja.”

Scholes turut mengakui bahawa tawaran tersebut sampai ke pengetahuannya melalui ejen kepada Ryan Giggs iaitu Harry Swales.

Keadaan itu membuatkan beliau perlu berhadapan dengan Ferguson bagi membincangkan serta memyelesaikan perkara tersebut.

Bukan mudah untuk berdepan dengan Sir Alex Ferguson walaupun Paul Scholes merupakan antara tonggak utama dalam pasukannya.

Namun dengan segala keberanian yang ada, Scholes akhirnya membuat keputusan untuk melakukan sesuatu yang tidak pernah dibayangkan.

“Saya sebenarnya masih beranikan diri masa tu. Saya fikir, saya tetap akan pergi jumpa dia.”

“Saya rasa saya cakap sesuatu macam, ‘Saya rasa saya layak dapat gaji lebih tinggi,’ atau ‘Saya nak dinaikkan gaji. Masa tu saya fikir, apa sebenarnya yang aku buat ni? Cuma mampu pandang muka dia je.”

“Dia pun keluarkan buku hitam kecil yang dia selalu bawa tu. Dia selak-selak halaman selama lebih kurang lima minit.”

“Lepas tu dia cakap, ‘Tak, saya rasa kau okay. Kau sama macam pemain lain. Tak ada masalah.’ Itu je. Dia menambah, ‘Gaji kau dah cukup bagus. Okay, terima kasih. Jumpa lagi.’

“Ya Tuhan. Itu yang paling teruk. Itu penyesalan terbesar saya dalam bola sepak sebab buat macam tu.”

Tiada perdebatan, tiada bantahan. Hanya jawapan dingin daripada Sir Alex yang membuatkan Scholes terasa mahu lenyap ditelan bumi pada saat itu juga.

Sumber