Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain beregu wanita negara, Pearly Tan tidak akan menyertai skuad kebangsaan ke saingan Piala Uber 2026 yang akan berlangsung di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei nanti, akibat kecederaan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky menjelaskan keputusan itu dibuat selepas penilaian terakhir terhadap keadaan pemain tersebut, dengan mengambil kira tahap kecergasan yang belum mencapai standard pertandingan antarabangsa.

Wakil Malaysia
Kredit Foto: Jade Gao / AFP

Pearly dilihat tidak berada di prestasi terbaik susulan kecederaan belakang dialami yang menyaksikan gandingannya bersama M. Thinaah tewas di suku akhir Kejuaraan Badminton Asia 2026 minggu lalu.

“Pearly tidak berada pada tahap untuk bersaing di tahap yang diperlukan. Kami terpaksa membuat keputusan ini bagi memastikan pasukan benar-benar bersedia,” katanya.

Ketiadaan Pearly Tak Jejas Peluang Negara

Walaupun perkembangan terkini itu merupakan tamparan kepada skuad negara, peluang Malaysia untuk mara ke peringkat suku akhir masih dilihat cerah berdasarkan undian kumpulan.

Malaysia diundi bersama Turkiye dan Afrika Selatan, yang secara atas kertas memberikan kelebihan untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Dalam masa sama, kem negara kini sudah berada di Horsens bagi menjalani sesi latihan pusat sebagai persediaan menyesuaikan diri dengan keadaan serta persekitaran kejohanan.

Piala Thomas
Kredit Foto: BAM

Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pearly, slot beregu wanita kini diisi oleh gandingan Thinaah, Ong Xin Yee bersama Carmen Ting serta Low Zi Yu dan Noraqilah Maisarah Ramdan.

Ini bermakna Thinaah berkemungkinan besar akan digandingkan sama ada dengan Low Zi Yu atau Noraqilah Maisarah bagi menggalas cabaran beregu utama negara dalam kejohanan tersebut.

Sumber