Semasa pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 yang berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.
Perintah Gaji Minimum (PGM) itu terpakai kepada semua pekerja termasuk pekerja bukan warganegara di sektor swasta kecuali pekhidmat domestik dan kontrak perantisan, lapor Berita Harian.

Baca Juga:
- Belanjawan 2025: Gaji Minimum Dinaikkan Kepada RM1,700 Mulai Februari Depan
- Gadis Kazakhstan Tak Kisah Kahwin Dengan Lelaki Malaysia Gaji RM3,000
- 99 Speed Mart Pertahan Struktur Gaji Pekerjanya
Laporan itu memetik soalan-soalan lazim (FAQ) PGM yang disediakan Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara dasar gaji minimum hendaklah tidak mendiskriminasi seseorang pekerja atas alasan kewarganegaraan selaras Konvensyen ILO No.100: Equal Remuneration yang diratifikasikan oleh Malaysia pada 1997.
Selain itu, Seksyen 69F Akta Kerja 1955, Seksyen 118B Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) atau Seksyen 119B Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) tidak membenarkan sebarang bentuk diskriminasi antara pekerja tempatan dan pekerja asing.
“Majikan wajib membayar kadar gaji minimum kepada pekerja walaupun pekerja bersetuju untuk majikan membayar gaji pokok lebih rendah daripada gaji minimum selaras Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732),” menurut FAQ berkenaan.
Difahamkan gaji minimum yang akan berkuat kuasa pada tahun depan itu melibatkan majikan yang mengambil lima pekerja atau lebih, dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional tanpa mengira bilangan pekerja.
Laporan itu menyatakan terdapat sembilan kumpulan sub utama aktiviti profesional iaitu profesional sains dan kejuruteraan, profesional kesihatan, profesional perguruan, profesional perniagaan dan pentadbiran serta profesional teknologi maklumat dan komunikasi, serta profesional perundangan, profesional perkhidmatan hospitaliti dan yang berkaitan, profesional sosial dan kebudayaan serta profesional badan pengawalaturan turut tersenarai dalam pengkelasan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) 2020.
Gaji minimum RM1,700 turut terpakai ke atas pekerja yang dibayar gaji hanya berdasarkan upah ikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen.
Majikan yang gagal mematuhi PGM boleh dikenakan tindakan penalti antara RM1,000 hingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.
Dalam pada itu, kerajaan juga memberi penangguhan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja selama enam bulan hingga 1 Ogos 2025.