Piala Dunia 2026 bukan sahaja membawa ribuan penyokong bola sepak ke New York, malah turut mencetuskan satu masalah luar jangka buat industri restoran di Amerika Syarikat — ramai pelancong asing tidak meninggalkan tip kepada pekerja restoran.

Menurut laporan, bandar raya New York kini dibanjiri penyokong bola sepak dari seluruh dunia yang hadir untuk menyaksikan aksi Piala Dunia di kawasan New York-New Jersey.

Walaupun premis makanan menikmati peningkatan jualan dan kehadiran pelanggan, ramai pelayan restoran mengadu pendapatan mereka terjejas kerana kekurangan tip.

Perkara ini berlaku kerana budaya tip yang diamalkan di Amerika Syarikat tidak begitu biasa di kebanyakan negara lain.

Ramai pelancong tidak memahami bahawa pekerja restoran di AS bergantung kepada tip sebagai sebahagian besar pendapatan mereka.

Restoran ‘Lawan Balik’ Dengan Caj ‘Pemberian Ikhlas’ Automatik

Bagi mengelakkan pekerja mereka kehilangan pendapatan ketika tempoh paling sibuk tahun ini, beberapa restoran di bandar-bandar tuan rumah Piala Dunia mula mengenakan caj tambahan iaitu caj ‘gratituities’ atau seikhlas hati automatik sekitar 20 peratus ke atas bil pelanggan.

Langkah tersebut telah dilaksanakan di beberapa bandar seperti Atlanta, Philadelphia dan Kansas City, manakala pengusaha restoran di New York turut mempertimbangkan pendekatan sama.

Mereka percaya kaedah itu dapat melindungi kebajikan pekerja tanpa perlu memaksa pelayan menerangkan budaya tip kepada setiap pelanggan antarabangsa.

Namun tidak semua pihak bersetuju. Ada pengusaha restoran yang berpendapat pelanggan seharusnya bebas menentukan jumlah tip berdasarkan tahap layanan yang diterima, bukannya dipaksa melalui caj automatik.

Selain itu, golongan ini juga mengingatkan bahawa tip itu sendiri konsepnya adalah pemberian seikhlas hati bukannya kewajiban untuk dibayar oleh pelanggan.

Perbezaan Budaya Jadi Punca

Di kebanyakan negara Eropah, Asia dan Amerika Selatan, caj servis sering kali telah dimasukkan ke dalam harga makanan atau gaji pekerja lebih tinggi berbanding AS.

Oleh itu, ramai pelancong tidak menyedari bahawa meninggalkan tip sebanyak 15 hingga 20 peratus dianggap amalan seharian di Amerika.

Walaupun isu ini menimbulkan sedikit ketegangan dalam industri hospitaliti, ramai pekerja restoran mengakui mereka masih menghargai suasana meriah yang dibawa oleh penyokong Piala Dunia dari seluruh dunia.

Kehadiran jutaan pelawat tetap memberikan lonjakan ekonomi yang besar kepada bandar tuan rumah.

Sumber