Negara Malaysia merangkumi berbilang kaum dan agama yang mana perlu saling bertoleransi di antara satu sama lain dalam menjaga keharmonian sejagat.
Seperti di bulan Ramadan, semua sedia maklum umat Islam akan berpuasa bermula di pagi hari sehinggalah matahari terbenam, sementara yang bukan beragama Islam boleh sahaja menjalani kehidupan seperti biasa termasuklah makan bila-bila masa mereka mahukan.
Bagaimanapun, seorang individu bukan beragama Islam meluahkan rasa tidak puas hati apabila haknya sebagai pelanggan tidak diendahkan oleh kakitangan di sebuah rangkaian restoran nasi ayam terkemuka di AEON Wangsa Maju.
Dia berkongsi kisah insiden yang tidak memuaskan hati itu di laman Facebook dengan berkata dia hanya mahu mendapatkan layanan sewaktu mengunjungi restoran itu pada 3 Mac di petang hari.
Tanya terlebih dahulu berkaitan dine-in
Menyedari tentang bulan Ramadan, dia sudah bertanya kepada kakitangan yang bertugas sama ada dia boleh makan di situ yang pada ketika itu restoran dalam keadaan kosong.
Pada mulanya, kakitangan itu memberi lampu hijau yang menandakan dia boleh sahaja makan di dalam restoran berkenaan walaupun masih di petang hari.
Namun, dia dilayan acuh tak acuh kerana setiap kakitangan sama ada sibuk atau sedang berehat.
Tiada yang ambil pesanan
Tiada seorang pun yang berusaha untuk memaklumkan kakitangan lain tentang pelanggan ini yang mahu mendapat layanan kerana ingin makan di restoran terbabit.

Pengirim itu seterusnya mengatakan bahawa dia meninggalkan kedai selepas ‘berulang kali diabaikan’ oleh kakitangan yang acuh tak acuh. Dia juga menasihati individu lain untuk lebih berwaspada apabila mahu dine in di dalam restoran terutamanya di bulan Ramadan.

Perkongsian individu itu langsung mengundang pelbagai komentar negatif dari netizen yang mana menempelak tindakan kakitangan itu yang tidak bersikap profesional di dalam pekerjaan sekaligus memberikan pengalaman yang mengecewakan buat mangsa.
Malah, ada yang merasakan hak mereka sebagai pelanggan telah dinodai dek hanya kerana tidak berpuasa sedangkan waktu bisnes beroperasi seperti biasa.
Dalam pada itu, pihak The Chicken Rice shop telah mengeluarkan permohonan maaf, dan menjelaskan bahawa terdapat salah faham yang di sebabkan oleh pekerja yang merupakan orang kurang upaya, dan sedang berehat pada waktu kejadian.
Mereka juga menyatakan bahawa perniagaan mereka berjalan seperti biasa sepanjang bulan ramadan, dan mengalu-alukan semua pelanggan.