Enam daripada sembilan wakil Malaysia beraksi cemerlang untuk  melayakkan diri ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka China 2025.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan kekentalan mental di tahap tertinggi terutamanya pada set pertama selepas bangkit daripada ketinggalan 14-20 untuk menang 22-20.

Pasangan beregu campuran utama negara itu kemudiannya meneruskan rentak positif dengan mengesahkan kemenangan 21-17.

Langkah itu turut dituruti oleh Pearly Tan-M. Thinaah yang berjaya mengenepikan cabaran pasangan Jepun, Rui Hirokami-Sayaka Hobara dengan kemenangan ‘straight set’ 21-17, 21-13.

Malaysia
Kredit Foto: NSTP/ASWADI ALIAS

Dalam sektor beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menewaskan wakil Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-16, 21-16.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga tidak mengecewakan selepas menundukkan gandingan adik beradik dari Perancis, Christo Popov-Toma Junior Popov 21-17, 21-18.

Walaupun satu lagi aksi belum bermula dan hanya akan berlangsung kira-kira 9.00 malam ini tetapi satu lagi slot bakal menjadi milik Malaysia apabila Man Wei Chong-Tee Kai Wun akan berhadapan rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.

Pemenang perlawanan ini akan beraksi menentang Aaron dan Wooi Yik di suku akhir dan ia memberi isyarat jelas satu wakil negara sudah pasti akan ke separuh akhir.

Manakala Go Pei Kee-Teoh Mei Xing melakar kejutan menewaskan pilihan keenam dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 26-24, 7-21, 21-18.

Terbuka Malaysia
Kredit Foto: BAM

Wakil Malaysia Ke Suku Akhir Terbuka China 2025

Beregu Lelaki 

1) Aaron Chia-Soh Wooi Yik

2) Man Wei Chong-Tee Kai Wun atau Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong

3) Ong Yew Sin-Teo Ee Yi

Beregu Wanita

4) Pearly Tan-M. Thinaah

5) Go Pei Kee-Teoh Mei Xing

Beregu Campuran 

6) Chen Tang Jie-Toh Ee Wei