Tiga daripada tujuh wakil Malaysia yang beraksi di pusingan 16 berjaya mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia 2026 yang berlangsung di Ningbo, China.

Gandingan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi wakil pertama dari Malaysia yang melangkah ke suku akhir.

Juara dunia 2025 itu tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan pasangan dari India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto 21-13, 21-14 dalam aksi yang berlangsung selama 37 minit.

Suku Akhir
Kredit Foto: NSTP/ASWADI ALIAS

Kemenangan yang sekali gus melebarkan rekod pertemuan buat Tang Jie dan Ee Wei ke atas pasangan tersebut kepada 3-0.

Menanti mereka esok ialah pasangan dari Korea Selatan, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong yang menundukkan Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu dari Indonesia 23-21, 20-22, 10-21.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik Turut Galas Cabaran Malaysia

Juara bertahan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula sedikit berhempas pulas sebelum dapat menewaskan wakil tuan rumah, Hu Ke Yuian-Lin Xiang Yi 22-20, 21-19.

Aaron dan Wooi Yik akan berdepan cabaran pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju yang menewaskan bekas juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-18, 19-21, 21-11.

Wakil Malaysia
Kredit Foto: Jade Gao / AFP

Pearly Tan-M. Thinaah menjadi wakil terakhir kem badminton Malaysia ke suku akhir selepas membenam cabaran hebat ditampilkan Hsu Yin-Hui-Lin Jhih Yun dari Chinese Taipei 21-19, 19-21, 24-22.

Pasangan ranking kedua dunia itu akan berhadapan dengan pemenang antara Rui Hirokami-Sayaka Hobara dari Jepun dan wakil China, Li Yi Jing-Luo Xu Min.