Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong 2025 yang berlangsung di Kowloon bermula semalam menyaksikan beberapa kejutan dihadapi pemain pilihan.
Tidak terkecuali daripada mengalami kejutan tersebut ialah Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang merupakan pilihan pertama kejohanan.
Baca Juga:
- Terbuka Hong Kong 2025: Ini Jumlah Wang Tunai Bakal Diraih Pemain

- Senarai Pemain Badminton Negara Yang Sertai Terbuka Hong Kong 2025

- Pearly-Thinaah Cemerlang Muncul Juara Terbuka Hong Kong 2024

Barisan Pemain Pilihan Yang Kecewa
Pasangan beregu lelaki utama negara itu ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy dengan keputusan 13-21, 13-21.
Nasib sama turut dirasai pilihan ketiga dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang tewas kepada pasangan Malaysia, Wan Arif Junaidi-Yap Roy King juga dengan ‘straight set’ 19-21, 21-23.
Dalam acara perseorangan lelaki, Toma Junior Popov dari Perancis yang diletakkan sebagai pilihan kelapan terpaksa akur dengan kekuatan pemain muda Malaysia, Justin Hoh 12-21, 17-21.
Sektor perseorangan wanita pula menyaksikan pemain pilihan kelapan, Pusarla V. Sindhu tewas ditangan pemain Denmark, Line Christophersen dalam aksi ‘rubber set’ 21-15, 16-21, 19-21.
Pilihan kelapan beregu campuran, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam dari Hong Kong pula tewas kepada Hsu Ya Ching-Sung Yu-Hsuan (Chinese Taipei) 13-21, 21-19, 18-21.
Sementara itu, tiga pemain yang sebelum ini berada di kedudukan teratas dalam perseorangan lelaki dan sama-sama tidak bernasib baik mengalami kecederaan panjang iaitu Lee Zii Jia, Viktor Axelsen dan Anthony Sinisuka Ginting jelas masih belum dapat mengembalikan prestasi terbaik mereka.
Zii Jia tewas kepada rakan senegara, Leong Jun Hao 16-21, 16-21 manakala Ginting tunduk ditangan Christo Popov 21-19, 17-21, 19-21 dan Axelsen dikecewakan Kodai Naraoka 15-21, 7-21.