Saingan Terbuka China 2025 yang bermula semalam menyaksikan beberapa pemain pilihan mengalami kejutan besar pada pusingan pertama kejohanan di Changzou itu.

Paling perit untuk diperkatakan apabila dua pasangan negara juga turut menjadi mangsa kejutan tersebut.

Baca Juga:

Barisan Pemain Pilihan Tersingkir Awal

Ia berikutan kekalahan pilihan pertama kejohanan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani ditangan pasangan dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju.

Status selaku juara bertahan dan baharu sahaja bergelar naib juara Terbuka Jepun masih belum cukup buat Sze Fei-Nur Izzuddin yang terpaksa akur dengan kemampuan pasangan ranking ke-40 dunia itu dengan kekalahan 21-15, 15-21, 17-21.

Pemain Pilihan
Kredit Foto: NSTP/ASWADI ALIAS

Kemudiannya pilihan keenam kejohanan, Goh Sooh Huat-Shevon Jemie Lai pula mengalami nasib sama selepas kecundang kepada pasangan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu 21-18, 22-24, 15-21.

Pasangan beregu campuran Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue yang merupakan pilihan ketujuh pula tewas ketika berhadapan dengan wakil Korea Selatan, Wang Chan-Jeong Na Eun 17-21, 21-16, 15-21.

Dalam acara beregu lelaki, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (pilihan keempat) dari Denmark tewas kepada pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-18, 19-21, 18-21.

Pemain Pilihan
Kredit Foto: NSTP/ASWADI ALIAS

Pilihan kedua sektor beregu wanita, Nami Matsuyama-Chiharu Shida turut terpaksa pulang awal selepas tewas kepada pasangan tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 23-21, 11-21, 11-21.

Pemain perseorangan wanita Jepun yang merupakan pilihan keenam, Tomoka Miyazaki tewas ditangan pemain India, P.V Sindhu 15-21, 21-8, 17-21.

Manakala naib juara perseorangan lelaki Terbuka Jepun, Alex Lanier (pilihan kelapan) tewas kepada rakan senegaranya, Toma Junior Popov 20-22, 21-13, 17-21.

Ia hanyalah sekadar kebetulan apabila kesemua pemain pilihan tersebut tewas dalam aksi ‘rubber set’.