Jaringan pemain tengah Selangor, Noor Al-Rawabdeh berjaya membantu negaranya, Jordan raih kemenangan pertama pada aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Palestin di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.

Palestin memilih Malaysia sebagai gelanggang neutral kerana negara mereka sedang bergolak dengan peperangan akibat kekejaman tentera Israel.

Baca Juga:

Jordan menewaskan Palestin 3-1 sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam dua perlawanan setakat ini.

Naib juara Piala Asia 2023 itu tidak menunggu lama untuk mendahului seawal minit kelima menerusi gerakan lincah Yazan Al-Naimat melepasi kawalan dua pertahanan Palestin.

Palestin kemudian menjadikan kedudukan berubah kepada 1-1 pada minit ke-40 apabila Wessam Abouli menanduk masuk gol penyamaan.

Naimat kemudian kembali meletakkan Jordan di depan lima minit selepas separuh masa kedua bersambung.

Selepas beberapa kali terlepas peluang menambah jaringan, Noor Al-Rawabdeh muncul wira Jordan selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-72.

Aksi penyerang import Selangor, Ali Olwan ketika menentang Palestin semalam. FOTO: FAM

Sebelum perlawanan itu, mereka terikat 1-1 dengan Kuwait pada aksi pertama dan Rawabdeh serta seorang lagi pemain Selangor iaitu Ali Olwan turut berada dalam kesebelasan utama.

Rawabdeh beraksi selama 90 minit dalam dua perlawanan tersebut manakala Ali Olwan sempat dikeluarkan pada minit akhir ketika menentang Palestin semalam.

Prestasi cemerlang ditampilkan oleh dua pemain tersebut di pentas antarabangsa memberi perkembangan positif kepada Selangor yang bakal menghadapi aksi pertama AFC Champions League Two (ACL 2) minggu hadapan.

Mereka dijadualkan menentang jaguh Thailand, Muangthong United di Bangkok pada 19 September depan.