Cristiano Ronaldo menegaskan dirinya pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dan tidak terlalu memikirkan sasaran untuk mencapai 1,000 gol sepanjang karier profesionalnya.

Bintang Al Nassr itu berkata, orang ramai seolah-olah tidak menghargai prestasi semasanya, termasuk jumlah jaringan yang terus dikumpulkan walaupun sudah berada di penghujung karier.

“Orang ramai tidak menghargai prestasi saya ketika ini, gol-gol saya,” kata Ronaldo dalam temu bual bersama CNN.

Ronaldo kini telah menjaringkan 980 gol dalam 1,337 perlawanan profesional bersama kelab dan pasukan kebangsaan Portugal.

Ketika ditanya mengenai sasaran untuk mencapai 1,000 gol, pemain berusia 41 tahun itu menegaskan bahawa dia tidak mahu terlalu memikirkan angka tersebut.

“Segala-galanya perlu berlaku secara semula jadi.

“Kalau saya menjaringkan 920 gol, 925 atau 930 gol, pemain terbaik dalam sejarah tetap saya, noktah. Angka-angka itu bercakap sendiri dan tidak menipu.

“Jika saya mencapai 1,000 gol, itu sesuatu yang luar biasa dan satu objektif, tetapi saya tidak terlalu memikirkan perkara jangka panjang,” katanya.

Kenyataan itu sekali lagi memperlihatkan keyakinan tinggi Ronaldo terhadap pencapaiannya, ketika perdebatan mengenai pemain terbaik sepanjang zaman masih membabitkan dirinya dan Lionel Messi.

Dalam temu bual sama, Ronaldo turut mengakui bahawa dia tidak dapat memastikan bila akan menamatkan karier profesionalnya.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku esok. Mungkin saya bangun tidur dan hilang motivasi, lalu tidak mahu bermain lagi. Saya benar-benar tidak tahu,” katanya.

Masa depannya bersama Portugal masih belum berakhir sepenuhnya apabila dia menyatakan hasrat untuk menikmati satu atau beberapa perlawanan perpisahan bersama pasukan kebangsaan.

Dalam kenyataan panjang sebelum ini, Ronaldo turut menegaskan bahawa dia tidak merancang untuk bersara daripada tugas antarabangsa buat masa ini.

Dengan Piala Dunia 2026 menjadi antara pentas terbesar yang berpotensi menandakan penghujung perjalanan antarabangsa Ronaldo, persoalan kini tertumpu kepada berapa lama lagi penyerang itu mampu meneruskan karier dan sama ada dia benar-benar akan mencapai angka 1,000 gol.