Seorang pegawai bank didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan, termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dalam kemalangan di Jalan Kuching, Sabtu lalu.
Tertuduh, Raeven Goh Wey Haur, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aliaa Anwar, petik Berita Harian.
“Tidak mengaku salah,” kata Raeven ringkas ketika berdiri di dalam kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memandu kereta jenis BYD Seal secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5, di Jalan Kuching dari arah pusat bandar menghala ke Segambut pada jam 3.44 petang, 10 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu secara berbahaya di lokasi dan waktu yang sama mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, Raeven didakwa gagal berhenti selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di lokasi dan waktu sama mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta sama, membawa hukuman denda tidak kurang RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM50,000 bagi kesemua pertuduhan serta memohon syarat tambahan.
“Pihak pendakwaan turut memohon supaya mahkamah menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai selaras dengan Seksyen 41(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah,” kata Timbalan Pendakwa Raya.
Bagaimanapun, peguam bela Kailash Sharma yang mewakili tertuduh memohon kadar jaminan minimum dengan mengambil kira kerjasama penuh yang diberikan keluarga anak guamnya kepada pihak polis sejak hari kejadian.
Beliau turut mengemukakan cadangan bapa tertuduh berusia 55 tahun yang menjalankan perniagaan selama 26 tahun sebagai penjamin.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret Aliaa membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandunya digantung berkuat kuasa hari ini sehingga prosiding kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 19 November depan.
Prosiding hari ini turut dihadiri ahli keluarga mangsa bersama peguam pemerhati, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor.