Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah melancarkan Kempen Year End Zakat 2025 (YEZ 2025) sebagai usaha menyeru dan menggalakkan masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan zakat selewat-lewatnya 31 Disember 2025.
Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar bertempat di Aeon Mall AU2, Setiawangsa sempena Karnival Usahawan Al-Falah MADANI, anjuran MAIWP.
Kempen tahunan yang berlangsung dari 1 November sehingga 31 Disember 2025 ini menawarkan pelbagai perkhidmatan, pengisian, aktiviti serta kemudahan bagi memudahkan orang ramai serta syarikat menunaikan rukun Islam ketiga ini melalui PPZ-MAIWP dengan lebih teratur, cepat dan selamat.
YEZ 2025 mengangkat tema “Akhirnya Sempurna” bagi menzahirkan ibadah zakat sebagai kesempurnaan dalam memenuhi tuntutan terhadap Allah S.W.T dan tuntutan sesama manusia. Zakat menjadi jambatan yang menghubungkan spiritual dan kemanusiaan yang memuliakan ibadah, pada masa yang sama mengangkat martabat golongan yang memerlukan. Kesempurnaan ibadah itu hadir apabila kita memenuhi kedua-duanya.

Bagi menghangatkan lagi kempen ini, pelbagai pengisian telah disusun sebagai nilai tambah kepada para pembayar zakat antaranya:
– 31 Hari Tanpa Henti
Pembukaan kaunter PPZ-MAIWP 7 hari seminggu sepanjang Disember termasuk lanjutan waktu kaunter sehingga 9 malam bermula 22-31 Disember 2025. Istimewa kali ini, PPZ-MAIWP turut menyediakan express lane bagi mereka yang telah membuat temujanji.
– Hari Bersama Pembayar
Jamuan dan cenderamata istimewa buat para pembayar zakat pada setiap hari Jumaat dan 10 hari terakhir bulan Disember.
– Year End Zakat Tour
Jelajah Kaunter Zakat dan Wakaf bergerak serta program Fuel Your Zakat di beberapa lokasi tarikan dan stesen minyak sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya bersama selebriti undangan dengan tawaran pelbagai hadiah menarik.
– Live & Podcast
Beberapa siri borak santai mengenai zakat dan wakaf bersama panel & jemputan istimewa.
– Santai Keluarga @ Kaunter
Jamuan, aktiviti bersama kanak-kanak, booth rakan strategik dan pelbagai tawaran menarik disediakan di kaunter PPZ-MAIWP terpilih pada 10 hari terakhir Disember.
– YEZ Corporate Talk
Seminar dan taklimat khas bersama majikan, syarikat dan lain-lain bagi tujuan pencerahan berkenaan zakat dan wakaf.
– Cenderahati Khas YEZ
Pemberian shopping bag kepada 10,000 pembayar yang membuat bayaran zakat harta minima RM100 di semua cawangan kaunter PPZ-MAIWP serta kalendar 2026.
Sepanjang kempen ini juga, PPZ-MAIWP turut menawarkan pelbagai perkhidmatan dan saluran bayaran bagi memastikan urusan pembayaran zakat dibuat dengan lebih pantas, selesa dan selamat.
Lebih menarik lagi, mereka yang menunaikan zakat sepanjang tempoh kempen ini turut berpeluang merebut lebih 1,300 hadiah istimewa termasuk pakej Umrah, pakej percutian, Thermomix, emas gold bar, mesin kopi dan pelbagai lagi. Pemenang akan dipilih melalui cabutan dan tertakluk kepada terma dan syarat.
Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi kaunter, kempen berkaitan atau pertanyaan zakat & wakaf, orang ramai boleh menghubungi 1300-88-5757 atau layari portal rasmi PPZ-MAIWP.