Liverpool mengesahkan bahawa aksi antara kelab itu dengan Manchester United masih tidak pasti sama ada akan diteruskan atau tidak.

Terdapat kerisauan aksi tersebut akan ditunda kerana cuaca buruk yang membuatkan keadaan padang tidak dapat digunakan untuk bermain.

Situasi ketika ini dilaporkan masih 50/50. Jawatankuasa Penasihat Keselamatan Bandar Liverpool mengadakan mesyuarat tergempar tentang perkara tersebut.

Banyak perkara diambil kira, termasuk soal risiko nyawa kepada peminat yang berkunjung ke Anfield serta berada di luar stadium.

Beberapa video dikongsikan di media sosial membuatkan ramai melabel keadaan di Anfield ketika ini seperti Siberia.

Sebelum ini aksi antara Everton dan Liverpool telah ditunda kerana masalah cuaca buruk. Namun aksi Liverpool pada Boxing Day lalu diteruskan dalam keadaan cuaca yang berkabus salji.

Ramai peminat Man United di media sosial mendesak agar perlawanan ini ditunda. Kerana menurut mereka, sangat sukar untuk peminat United datang berkunjung ke bandar Liverpool ketika ini.

Seorang peminat United menulis di X: “Utamakan keselamatan. Itu motto saya. Lebih baik berjaga jaga daripada bersedih selepas ini.”

Ramai lagi yang berharap agar perlawanan ini tidak akan diteruskan pada hari ini.

Seorang lagi peminat United menyatakan bahawa jika perlawanan ini dibatalkan, maka kemenangan 3-0 dan 3 mata harus menjadi milik United kerana Liverpool gagal memenuhi perlawanan seperti dijadualkan.

Apapun, kedua dua pasukan masih menunggu arahan pihak berkuasa berkaitan dengan perlawanan tersebut.

Liverpool kekal di tangga teratas EPL. Mereka kini 5 mata di atas Arsenal setelah The Gunners terikat dengan Brighton semalam.

Man United pula bergelut untuk keluar daripada kelompok 10 terbawah.