Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman denda RM40,000 ke atas pempengaruh selepas mengaku bersalah memulakan penghantaran video jelik menerusi media sosial memaparkan tiga remaja lelaki memberikan nasi bersama sisa tulang ayam kepada seorang gelandangan yang tidur di kaki lima.
Tang Sie Luk, 23, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie, yang turut memerintahkan lelaki itu dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.
Baca Juga:
- Pempengaruh Disiasat Selepas Tular Video Beri ‘Sisa Makanan’ Kepada Gelandangan

- Beri Gelandangan Makan Nasi Dengan Tulang, Ini Penerangan ‘Content Creator’

Sie Luk kemudian membayar denda tersebut, petik Berita Harian.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (2) akta sama.
Seksyen 233 (2) AKM 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Terdahulu, OKS yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dan memaklumkan telah insaf atas kesalahan, serta sudah membuat permohonan maaf.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran bukan sahaja kepada lelaki itu tetapi juga masyarakat agar tidak mengulangi kesilapan sama.
“Mangsa sendiri telah mengatakan terasa dihina dan marah akibat perbuatan OKS. Perbuatan memberi sisa makanan (sisa ayam) kepada mangsa bukan bertujuan kebajikan, sebaliknya dilakukan dalam konteks rakaman video bagi kandungan media sosial, yang jelas menunjukkan unsur eksploitasi penderitaan manusia demi hiburan, perhatian dan tontonan awam,” katanya.