Pengadil dari Malaysia berpeluang dicalonkan ke Piala Dunia selepas diberi penghormatan untuk ‘beraksi’ di pentas Piala Asia yang berlangsung di Doha, Qatar.

Pentas Piala Asia 2023 ini penting untuk mereka berada dalam senarai pendek pengadil dan penolong pengadil yang bakal dipilih untuk beberapa siri kursus dan ujian iaitu ‘FIFA World Cup Candidate’ sebagai syarat pemilihan secara merit bagi Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Baca Juga:

Semalam, pengadil negara, Muhammad Nazmi Nasaruddin bersama dua penolong pengadil, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid mengadili aksi Kumpulan D antara Iraq menentang Vietnam di Stadium Jassim bin Hamad.

Ketika perlawanan itu, Nazmi sempat menggunakan khidmat Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk mengesahkan kedudukan ofsaid pemain Vietnam dan juga gol kedua Iraq.

Beliau turut melayangkan satu kad merah dan tiga kad kuning kepada pemain Vietnam dan keputusan tersebut dibuat berdasarkan penelitian dalam rakaman VAR.

FOTO: FAM

Ia merupakan perlawanan sulung ketiga-tiga mereka beraksi di tengah padang sejak saingan Piala Asia 2023 bermula 12 Januari lalu selepas Nazmi ditugaskan sebagai pegawai keempat pada perlawanan China lwn Tajikistan (13 Januari) dan Iraq lwn Jepun (19 Januari 2024).

Zairul diletakkan sebagai penolong pengadil simpanan bagi perlawanan China lwn Tajikistan manakala Arif sebagai penolong pengadil simpanan bagi perlawanan Iraq lwn Jepun.

Seramai 35 pengadil dan 39 penolong pengadil terpilih untuk mengadili perlawanan di sepanjang kempen Piala Asia 2023 di Qatar bermula 12 Januari hingga 10 Februari 2024.