Satu kontroversi baharu menjelang Piala Dunia FIFA 2026 tercetus apabila pengadil Somalia, Omar Abdulkadir Artan, dilaporkan berdepan masalah kemasukan ke Amerika Syarikat walaupun telah dilantik oleh FIFA sebagai salah seorang pegawai perlawanan kejohanan tersebut.
Menurut laporan, Artan dikatakan gagal mendapatkan kebenaran masuk ke Amerika Syarikat meskipun telah menerima bantuan daripada Kedutaan Somalia di Nairobi, termasuk urusan mendapatkan pasport diplomatik.
Artan bukanlah nama asing dalam arena bola sepak Afrika. Beliau mencipta sejarah sebagai pengadil pertama dari Somalia yang dipilih untuk mengendalikan perlawanan di pentas Piala Dunia FIFA serta pernah diiktiraf sebagai Pengadil Terbaik Afrika 2025 oleh Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).
Kariernya terus melonjak selepas mengendalikan beberapa perlawanan berprofil tinggi termasuk aksi Liga Juara-Juara CAF dan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), sekali gus menjadikannya antara pengadil paling dihormati di benua tersebut.
Bagaimanapun, terdapat laporan yang bercanggah mengenai status visanya. Beberapa laporan terkini mendakwa isu visa Artan sebenarnya telah diselesaikan dan beliau telah diberikan kebenaran untuk memasuki Amerika Syarikat bagi bertugas di Piala Dunia 2026.
Nommé par la FIFA pour officier durant la Coupe du Monde, l'arbitre somalien 🇸🇴 Omar Artan s'est vu refuser l'entrée sur le territoire américain
Vu ses difficultés pour obtenir un visa, il avait bénéficié du soutien de l'ambassade somalienne de Nairobi qui lui a notamment permis… pic.twitter.com/xdibnK3OZC
— Romain Molina (@Romain_Molina) June 8, 2026
Seorang wakil FIFA turut mengesahkan bahawa masalah dokumentasi tersebut telah berjaya diselesaikan. Oleh sebab itu Artan telah membuat perjalanan ke AS.
Setakat ini, FIFA mahupun pihak berkuasa Amerika Syarikat belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan bahawa Artan telah dihantar pulang selepas tiba di negara itu.
Jika benar berlaku, insiden tersebut dijangka menimbulkan persoalan mengenai layanan terhadap pegawai sukan antarabangsa menjelang kejohanan terbesar dunia yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.