Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) bakal menikmati pengecualian cukai pendapatan selama 10 tahun.

Menurut beliau, semua badan dan yayasan pendidikan akan dikecualikan daripada cukai bagi tempoh sedekad akan datang, petik Free Malaysia Today.

“Ini adalah untuk yayasan-yayasan yang ditubuhkan bagi tujuan pendidikan, seperti Yayasan TAR,” kata beliau selepas menyerahkan replika cek bernilai RM40 juta sebagai geran padanan kerajaan kepada yayasan universiti berkenaan.

TAR UMT Dapat Pengecualian Cukai Pendapatan Selama 10 Tahun
Sumber Gambar: Facebook Anwar Ibrahim

Disember lalu, TAR UMT menyatakan bahawa mereka sedang menunggu keputusan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenai pelanjutan pengecualian cukainya yang tamat pada 31 Disember.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, menzahirkan rasa syukur atas pengecualian tersebut.

Wee, yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Pendidikan TAR, berkata tanpa pengecualian tersebut, universiti itu mungkin berdepan cukai tahunan sehingga RM20 juta, yang berpotensi memberi kesan kepada ribuan pelajar.