Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi mengesahkan bahawa kelab tersebut secara rasminya menarik diri daripada beraksi dalam saingan Liga Super 2025/26.
Perkembangan terkini itu disahkan beliau menerusi kenyataan yang dikeluarkan menurut sumber laporan Berita Harian (BH) Online.
Baca Juga:
- Krisis Kewangan Memuncak: Perak FC Dilapor Bakal Tarik Diri Daripada Saingan Liga Super 2025/26
- ‘Perak FC Bila Nak Bayar Baki Gaji, Nak Beli Susu Dan Pampers Anak’
- Krisis Tunggakan Gaji Skuad Perak: Apa Sebenarnya Berlaku?
Keputusan drastik itu terpaksa diambil selepas masalah kewangan yang berlarutan seolah-olah tidak mampu untuk diselamatkan hingga menyebabkan tunggakan gaji hampir tujuh bulan melibatkan pemain dan barisan kejurulatihan skuad Liga Super dan Piala MFL musim ini.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, pengurusan tertinggi kelab telah mengadakan mesyuarat tergempar bersama para pemain dan pegawai skuad Liga Super dan Piala MFL pagi semalam.
Tujuan utama perjumpaan tersebut adalah untuk menjelaskan keputusan Perak FC untuk menarik diri daripada liga utama tanah air itu dan menerangkan cadangan kaedah pembayaran tunggakan gaji.
Susulan dengan keputusan itu, Azim mendedahkan permasalahan yang timbul hingga menjurus kepada berita penarikan diri ini.
Luahan Pengerusi Perak FC
“Berat hati untuk kami menyatakan perkara ini, namun masanya sudah tiba. Kami secara rasmi menarik diri daripada Liga Super musim depan dan menamatkan perjalanan Perak FC.”
“Kami bermula dengan impian besar untuk membina sesuatu yang mampan dan boleh dibanggakan rakyat Perak.”
“Kami percaya bahawa dengan sokongan anda [merujuk kepada penyokong], kami dapat mewujudkan kelab yang bukan sahaja kompetitif, tetapi berteraskan semangat komuniti dan kecintaan terhadap bola sepak.”
“Kami mengambil alih kelab ini dengan beban hampir RM8 juta hutang gaji. Kami sudah menyelesaikan hutang itu dan kami memberikan segala-galanya termasuk masa, keyakinan dan hampir RM40 juta dalam tempoh tiga tahun.”
“Namun, realitinya sokongan yang kami perlukan tidak berkembang seperti yang diharapkan.”
“Sokongan daripada sektor awam dan swasta di Perak tidak hadir dan pertumbuhan yang dijangkakan dalam jumlah langganan TBG [pelan kad sim telco] juga jauh dari sasaran.”
“Dana dalaman kini sudah habis dan kami tidak mampu untuk teruskan lagi,” ujar beliau menurut sumber laporan BH Online.