Skuad bola sepak Indonesia dijangka bertambah lebih kuat di masa depan apabila merancang untuk merekrut penjaga gol Inter Milan, Emil Audero Mulyadi yang memiliki ketinggian 192 cm.

Kelmarin, Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Erick Thohir telah mengadakan pertemuan dengan pemain tersebut dan ia menunjukkan tanda-tanda positif.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Erick Thohir sedang giat mencari pemain keturunan Indonesia di luar negara untuk dipanggil memperkuatkan pasukan kebangsaan.

Audero merupakan pemain berdarah keturunan Indonesia sebelah bapanya dan dilahirkan di Mataram sebelum berhijrah ke Itali.

Produk Akademi Juventus itu turut mempunyai pengalaman luas di pentas antarabangsa kerana pernah mewakili skuad B-21 dan B-19 Itali.

Bagaimanapun, beliau belum pernah dipanggil menyarung jersi pasukan senior Itali dan PSSI memberi bayangan bakal menaturalisasikan pemain tersebut untuk menyarung jersi skuad Garuda bagi mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026.

“Kalau khabar angin di luar sana biar saja la. Kecuali kalau sudah bersalaman, sudah bergambar, ianya benar nih.

“Kan tidak mungkin saya sebagai Erick Thohir yang mempunyai reputasi antarabangsa, hanya berdasarkan gosip saya tidak mahu. Kalau bersalaman, ini benar,” kata Erick dipetik dalam sport.detik.com

Selain Emil Audero, media Indonesia turut melaporkan PSSI juga sedang merancang menaturalisasikan penjaga gol kelahiran Belanda, Maarten Paes yang beraksi dengan kelab Major League Soccer (MLS), FC Dallas.

Skuad Indonesia setakat ini diperkuatkan oleh 10 pemain naturalisasi iaitu Jay Idzes, Jordi Amat, Sandy Walsh, Shayne Pattynama, Nathan Tjoe-A-On, Justin Hubner, Thom Haye, Ivar Jenner, Rafael Struick dan Elkan Baggott.

Kehadiran mereka ternyata memberi perubahan lumayan dan berjaya membantu menewaskan Vietnam dua kali pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 sekaligus mencerahkan peluang layak ke Piala Asia 2027 secara automatik.

Malah, ketua jurulatih, Shin Tae-yong tidak menolak akan memanggil beberapa lagi pemain naturalisasi baharu untuk perlawanan menentang Iraq dan Filipina bulan Jun nanti.