Seorang penuntut tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dilaporkan mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang dipercayai dipijak penuntut senior.

Memetik Harian Metro, kejadian itu berlaku pada 21 Oktober lalu, sehari sebelum seorang lagi penuntut universiti sama yang melecur di badan akibat ditekap seterika oleh senior.

Baca Juga:

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.40 malam kelmarin.

Menurutnya, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 10.45 malam 21 Oktober lalu, ketika mangsa berada di tepi padang kawad setelah selesai panggil nama.

“Lelaki berusia 19 tahun, dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga, di universiti berkenaan.

“Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berhubung kecederaan yang dialami.

“Kes masih di peringkat siasatan dan pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan dilengkapkan oleh pihak polis.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata kejadian itu berlaku dalam tempoh yang lebih kurang sama dengan kes sebelum ini.

Namun, beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana sudah dalam siasatan polis.

Sumber