Keputusan mengejut di kem Perak FC apabila kelab tersebut dikatakan memilih untuk tidak menyertai saingan Liga Super 2025/26 ekoran masalah kewangan meruncing dihadapi.
Walaupun masih tiada pengumuman rasmi tetapi berita menggemparkan itu sudah berlegar-legar di media sosial pada ketika ini.
Difahamkan, pengurusan tertinggi kelab telah mengadakan mesyuarat tergempar bersama para pemain skuad Liga Super dan Piala MFL pagi tadi.
Tujuan utama adalah untuk menjelaskan keputusan untuk menarik diri daripada liga utama tanah air.
Satu langkah drastik yang tidak dijangka dan pastinya akan mengundang kecaman hebat penyokong setia pasukan.
Masalah Kewangan Meruncing Hantui Perak FC
Seperti dilaporkan sebelum ini, Perak FC bergelut untuk melunaskan beberapa komitmen kewangan termasuk tunggakan gaji pemain dan staf kejurulatihan dimana gaji hanya dibayar separuh sejak Mei 2024.
Menurut sumber yang dipercayai, mesyuarat tergempar pagi tadi bukan sahaja memuktamadkan keputusan untuk tidak menyertai Liga Super 2025/26, malah ia turut melibatkan cadangan kaedah pembayaran tunggakan gaji pasukan.
Pihak pengurusan tertinggi dikatakan hanya mahu menjelaskan 20 peratus sahaja daripada tunggakan keseluruhan kepada setiap pemain dan barisan kejurulatihan dengan alasan tidak mempunyai bajet untuk menyelesaikan secara keseluruhan hutang tersebut.
Keputusan itu nyata mengecewakan majoriti pemain dan staf, yang sebelum ini sudah menunjukkan tahap kesabaran tinggi meskipun berdepan masalah tersebut berbulan-bulan lamanya.