Bagi pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang, Rapid KL menyediakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kos perjalanan harian kekal berbaloi dan menjimatkan.

Dua produk pas perjalanan tanpa had tersebut adalah Pas My50 dan produk terbaharu iaitu Pas 30 Hari RM150 (Pas Rapid Bulanan).

Walaupun kedua-duanya menawarkan fungsi utiliti yang hampir serupa, terdapat perbezaan ketara dari segi kelayakan, harga, dan kaedah pembelian seperti yang diumumkan oleh Rapid KL baru-baru ini.

Berikut adalah perbandingan terperinci antara kedua-dua pas tersebut:

1. Pas My50: Khusus Untuk Warganegara Malaysia

Pas My50 ialah pas perjalanan bulanan bernilai RM50 yang sangat popular. Ia mengekalkan konsep subsidi bersasar bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat tempatan.

– Harga: RM50 untuk tempoh sah 30 hari.

– Kelayakan: Eksklusif untuk warganegara Malaysia sahaja.

– Liputan Rangkaian: Perjalanan tanpa had merangkumi semua perkhidmatan rel dan bas kendalian Rapid KL termasuk LRT, MRT, Monorel, BRT, bas Rapid KL, dan bas perantara MRT (MRT feeder bus).

Mekanisme Pendaftaran: Pas ini terikat secara digital pada MyKad (Kad Pengenalan) atau kad Touch ’n Go pintar yang telah disahkan berstatus warganegara Malaysia.

2. Pas Rapid Bulanan RM150: Terbuka Kepada Semua Pengguna

Bagi memenuhi keperluan pelancong asing, ekspatriat, atau mana-mana individu yang tidak memenuhi syarat kelayakan My50, Rapid KL kini memperkenalkan Pas 30 Hari RM150.

Pas ini direka khas untuk memberikan akses mobiliti tanpa had tanpa sekatan kewarganegaraaan.

– Harga: RM150 untuk tempoh sah 30 hari.

– Kelayakan: Terbuka kepada semua pengguna termasuk pelancong luar negara dan warga asing yang menetap di Malaysia. Ia juga menjadi alternatif bagi warganegara yang tidak memiliki MyKad berdaftar untuk subsidi semasa perjalanan.

– Liputan Rangkaian: Sama seperti My50, ia menawarkan perjalanan tanpa had untuk pengangkutan rel dan rangkaian bas terpilih di bawah pengurusan Rapid KL.

– Kemudahan Pembelian Baharu: Menariknya, pas RM150 ini kini boleh didapati dan dibeli secara digital secara terus menerusi aplikasi TNG eWallet selain boleh dibeli secara fizikal di semua Kaunter Khidmat Pelanggan Rapid KL serta hab bas yang terpilih.

“Prasarana akan terus memperkenalkan pelbagai inisiatif digital dan inovasi perkhidmatan bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih mudah, selamat dan mesra pengguna, seiring usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negara,” kata Rapid KL.

Sumber