“Bayangkan token RapidKL yang bertukar tangan setiap hari dan mungkin bakal anda pegang esok, rupa-rupanya telah dijadikan alat mencungkil gigi oleh orang lain.
Insiden meloyakan melibatkan seorang warga asing baru-baru ini bukan sahaja mencetuskan rasa jijik netizen.
Terbaharu, tular sebuah video yang memperlihatkan sosok seorang individu yang dipercayai warga asing dengan selambanya menggunakan token RapidKL sebagai pencungkil gigi.
Dia menggosok gigi dalam tempoh yang agak lama berdasarkan durasi rakaman.

Perkongsian video itu telah menimbulkan pelbagai perdebatan termasuk kebersihan dan juga cadangan untuk menghalang akses warga asing daripada menggunakan pengangkutan awam.
Hal ini kerana sudah sering kali mereka dilihat melakukan ‘onar’ yang bukan sahaja menjengkelkan warga setempat malahan boleh mencalarkan nama Malaysia di mata dunia.
Isu kesihatan turut menjadi bualan hangat kerana tindakan meloyakan itu berpotensi mengundang penularan penyakit berjangkit seperti influenza, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), serta pelbagai jangkitan kuman dan bakteria melalui sisa air liur.
Malahan, ada pengguna yang trauma selepas mengetahui akan kebersihan token yang selama digunakan tidak terjamin apabila bercampur dengan sesetengah individu berperangai sedemikian.
Bahkan, seorang pengguna turut berkongsi dia mungkin mangsa yang telah menerima token ‘malang’ itu dan turut disertakan gambar keadaan token tersebut.

Jelas kelihatan plastik terkopak pada satu bucu yang mana boleh dikaitkan dengan insiden tersebut di mana individu tersebut menggunakan satu bahagian sahaja sewaktu mencungkil giginya.
Sementara buat pengguna yang sudah beralih kepada kad TNG NFC pula, mereka menarik nafas lega kerana tidak perlu berdepan situasi yang menjengkelkan itu.
Sama ada desakan ekstrem untuk menyekat warga asing itu wajar atau tidak, kemarahan rakyat Malaysia kali ini ada asasnya. Insiden menjijikkan ini sepatutnya menjadi loceng amaran untuk pihak RapidKL mempercepatkan peralihan ke sistem tanpa tunai (cashless) sepenuhnya atau mengetatkan pemantauan.