Perkhidmatan ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) akan secara rasmi diklasifikasikan sebagai satu bentuk kredit, dan diletakkan di bawah pengawasan pihak berkuasa menerusi Akta Kredit Pengguna.
Memetik Berita Harian, Ketua Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), Abu Hassan Alshari Yahya mengesahkan bahawa pengenalan Akta Kredit Pengguna adalah maklum balas langsung kepada penggunaan perkhidmatan tersebut secara berleluasa.
Baca Juga:
- Hampir 170,000 Pengguna BNPL Masih Berhutang, Baki Tertunggak RM121.8 Juta

- BNM Dedahkan Peningkatan Trend Lambat Bayar Di Kalangan Pengguna BNPL Tempatan

- Siti Khadijah Tawar Pembayaran ‘BNPL’ Patuh Syariah Dan Tanpa Faedah Kepada Pelanggan

“Kita nampak peningkatan yang tinggi dari segi penggunaan perkhidmatan ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ oleh masyarakat. Berikutan peningkatan yang tinggi itu, kita rasa sudah tiba masanya untuk mengawal selia sektor ini,” kata Abu Hassan.
Menurut beliau lagi, fokus utama di sebalik peraturan itu untuk membina satu jaringan keselamatan bagi golongan rentan termasuk B40 dan pengguna remaja.

“Antara perubahan paling ketara yang akan dialami pengguna ialah pengenalan keperluan mandatori bagi syarikat BNPL untuk membuat penilaian kemampuan pengguna mengambil hutang.
“Ini bermakna amalan kelulusan segera tanpa semakan yang sewajarnya akan dihentikan dan penyedia perkhidmatan perlu memastikan pemohon benar-benar mampu untuk membuat bayaran balik,” katanya.
Bagi membantu pengguna, akta tersebut mewajibkan syarikat BNPL memaparkan dengan jelas kesemua caj dan yuran, lebih-lebhi lagi penalti bagi kelewatan pembayaran.
Ini supaya pengguna dapat memahami kos sebenar sebelum membuat komitmen pembelian dan BNPL.
SKP kawal selia perkhidmatan ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’
Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP), sebuah badan berkanun baharu akan bertindak sebagai pengawal selia tunggal untuk semua aktiviti kredit bukan bank nanti.
Pengguna boleh merujuk kepada SKP untuk memanjang aduan terhadap penyedia BNPL.
“Bagi industri BNPL itu sendiri, langkah ini menandakan fasa kematangan di mana mereka kini dianggap sebagai sebahagian daripada ekosistem kewangan formal.
“Mereka perlu menerapkan standard tadbir urus yang lebih tinggi dan beroperasi dengan prinsip pinjaman bertanggungjawab, sama seperti institusi kewangan lain,” katanya.