Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) sekali lagi merayu kepada kerajaan supaya membenarkan pengambilan 15,000 pekerja asing bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja di restoran mamak yang berterusan dalam industri tersebut.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Jawahar Ali Taib Khan, berkata industri itu memerlukan sekurang-kurangnya 15,000 pekerja asing bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan, petik Free Malaysia Today.

“Kaedah ini adalah telus dan tidak akan meningkatkan nisbah pekerja asing dalam sektor makanan dan minuman.

“Bagi restoran India Muslim khususnya, penggunaan tenaga kerja asing hanya merangkumi kurang daripada 10% daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja di negara ini.

“Kami berharap kementerian berkaitan dapat meneliti dan meluluskan pengambilan pekerja tersebut secepat mungkin,” katanya pada sidang media sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Presma kali ke-21 baru-baru ini.

Jawahar turut menyeru supaya penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dilaksanakan secara seragam bagi memudahkan urusan penempatan pekerja asing.

“Sesetengah pihak berkuasa tempatan membenarkan pekerja asing tinggal di premis restoran, manakala ada yang tidak membenarkannya,” ujarnya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, yang turut menghadiri majlis tersebut, berkata kementeriannya bersedia memudah cara perbincangan sekiranya sesi libat urus mengenai isu itu diadakan.

“Penguatkuasaan hal berkaitan pekerja asing juga melibatkan kementerian lain, seperti Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri,” katanya.