Seorang pesakit psikiatri yang tidak mampu menahan berang kerana menunggu lama di Hospital Selayang telah bertindak menikam seorang pesakit dengan pisau. Dia difahamkan telah menunggu lama sehingga berjam-jam untuk mendapatkan katil untuknya, lapor The Straits Times.

Menurut laporan itu lagi, difahamkan bahawa hospital itu penuh dengan pesakit menyebabkan masa menunggu menjadi lama dan amarah yang mendidih sehingga dia bertindak sedemikian.

Baca Juga:

Disebabkan itu, pesakit psikiatri itu telah mengambil pisau yang terdapat di pantri kakitangan dan menikam seorang pesakit, yang menghidap denggi, tiga kali – sekali di belakang dan dua kali di perut. Akibat tikaman itu, mangsa terpaksa menjalani pembedahan.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yang telah bergegas ke hospital untuk menilai sendiri keadaan selepas mendengar mengenai kejadian tersebut.

Isu hospital yang penuh dengan pesakit yang menunggu bukan sesuatu yang baharu. Pada Januari lalu, seorang pesakit jantung meninggal dunia selepas menunggu lebih 30 jam untuk mendapatkan katil di Hospital Serdang.

Hospital yang sama turut menjadi berita muka depan pada awal Februari lalu apabila sekumpulan pesakit dirakam bergaduh dengan kakitangan di jabatan kardiologi selepas menunggu 11 jam untuk temu janji.

Sebuah hospital di Klang juga terpaksa menutup zon tidak kritikal jabatan kecemasannya buat sementara waktu lebih awal pada bulan Februari kerana beban pesakit yang berlebihan.

Pada bulan ini juga, laman web penjagaan kesihatan CodeBlue melaporkan bahawa kegagalan Hospital Selayang menangani kesesakan di jabatan kecemasannya boleh menjadi tidak terkawal dengan kekurangan doktor.

Beberapa hospital di seluruh Malaysia sedang bergelut dengan isu kesesakan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, menyebabkan doktor dan pengamal perubatan menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk campur tangan.